Penganjur kepada tiga kejohanan badminton utama yang dijadualkan berlangsung di Impact Arena Muang Thong Thani bulan ini yakin bahawa acara tersebut akan berjalan dengan lancar di bawah protokol COVID-19 yang ketat.
Thailand yang menjadi tuan rumah untuk tiga kejohanan utama BWF akan dimulakan dengan Tebuka Yonex Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 12-17 Januari dan diikuti dengan Terbuka Toyota Thailand pada 19-24 Januari serta Jelajah Dunia HSBC BWF 2020 Akhir pada 27-31 Januari.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, ketika Thailand dilanda dengan gelombang terbaru wabak Corona, keputusan telah diambil dimana ketiga-tiga kejohanan itu akan berlangsung dalam keadaan tertutup.
Beliau yang mengetuai pasukan pemeriksa ditemui semasa kunjungan beliau ke lokasi kejohanan serta pusat latihan.
Turut menyertai, Presiden Persatuan Badminton Thailand, Khunying Patama Leeswadtrakul dan Penolong Pengarah Jabatan Penyakit Dr Preecha Prempree.
Tambahnya, bagi atlet luar negara, staf sokongan serta pegawai akan ditempatkan di Novotel Bangkok Impact manakala atlet dan pegawai kontigen Thailand akan menginap di Ibis Bangkok Hotel dari 4-31 Januari, dan mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan yang ditetapkan sehingga tempoh kuarantin selama dua minggu tamat.
Sebanyak 433 atlet dari 25 negara akan bertanding dalam tiga kejohanan tersebut dan kesemua mereka akan dibawa terus ke hotel serta menjalani ujian Covid-19 setiap tiga hari.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Thailand, Patama berkata tujuan mengembalikan kejohanan badminton bertaraf dunia ini supaya peminat masih boleh menikmati sukan ini mahupun dari rumah. – Oleh Siti Zafirah Kamal