Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) tampil membuka cerita sebenar disebalik isu penarikan diri negara itu daripada menjadi tuan rumah bagi temasya dwitahunan, Sukan SEA ke 30 pada 2019.
Isu melibatkan proses pemulihan bandar Marawi yang terjejas teruk akibat peperangan yang tercetus bukan perkara utama.
PSC menjelaskan, Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) masih dibelenggu dengan pelbagai masalah dalaman selain kekurangan fasiliti sukan.
Jelas William Ramirez, Jabatan Audit PSC turut mendedahkan mengeluarkan notis tentang wang yang disalah guna berjumlah 27 juta Peso ketika negara itu menganjurkan Sukan SEA pada 2005.
“Banyak kerja perlu dilakukan ke atas fasiliti dan masih ada beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan oleh POC terlebih dahulu,”kata William.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu memperuntukkan diantara 500 juta Peso ke 700 juta Peso andai mahu menganjurkan temasya Sukan SEA ke 30 pada 2019.
Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) menerusi Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menjelaskan masih menanti surat rasmi daripada Filipina.
Malah, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia menyuarakan Malaysia berkemungkinan mampu menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA ke 30.
Dua negara lain, Indonesia dan Thailand juga turut menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah andai Filipina sah menarik diri sebagai penganjur Sukan SEA 2019 nanti. – OLEH KU MOHD LUFTI