penang.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Pulau Pinang dan Kelantan kedua-duanya tidak begitu menyerlah dalam saingan Liga Super musim ini, namun masing-masing mencuri tumpuan dalam aksi ke-16 liga yang berlangsung Rabu apabila memainkan peranan selaku pengacau dalam buruan kejuaraan antara Johor Darul Takzim dan Felda United. 

Skuad Harimau Kumbang menafikan hasrat JDT untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas apabila mengikat juara bertahan itu 1-1 di Stadium Bandaraya, terima kasih kepada jaringan voli cantik Fitri Omar di separuh masa kedua.

Keputusan seri itu adalah yang pertama buat Harimau Selatan selepas tujuh perlawanan liga, menyaksikan mereka mendahului liga dengan 40 mata, namun masih boleh menarik nafas lega setelah pencabar terdekat, Felda United turut mencicirkan mata.

Felda United bimbingan Irfan Bakti melepaskan peluang berkongsi mata di kedudukan teratas setelah diikat Kelantan 1-1 di Kota Bharu.

The Fighters mendahului seawal minit kelapan menerusi Francis Forkey Doe namun Kelantan berjaya mencuri satu mata, menerusi jaringan Wander Luiz, 15 minit sebelum tamat permainan sekaligus memastikan Felda kekal dua mata di belakang JDT.

Pasukan tangga ketiga, Selangor pula terus tampil dengan aksi longlai apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut, kali ini tewas kepada T-Team 0-1 di Kuala Terengganu hasil jaringan penyerang import, Makan Konate pada minit ke-36.

Pengendali Zainal Abidin Hassan menyifatkan kegagalan barisan serangannya menyempurnakan peluang sebagai punca utama pasukannya kurang menyengat selain ketiadaan penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri dan Andik Vermansyah.

Kekalahan menyaksikan Selangor kekal dengan 26 mata di tempat ketiga, namun kedudukan mereka semakin goyah tatkala Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe yang mengekori di tangga keempat mengecilkan jurang kepada hanya empat mata. 

Jaringan penalti Shane Smeltz sudah memadai buat Lang Merah mengutip tiga mata dengan menewaskan Pahang 1-0 di Alor Star. 

Sementara itu, Perak meneruskan rentak kemenangan di bawah bimbingan Karl Heinz Weigang apabila gol tunggal Fazrul Hazli Kadri membantu The Bos Gaurus melakar kemenangan kelima berturut-turut dengan menewaskan PDRM 1-0.

Tiga mata yang diraih menyaksikan Perak melonjak ke tangga kelima dengan 20 mata.

Dalam perlawanan lain, Terengganu kini bergelut di zon penyingkiran setelah tunduk kepada Sarawak 1-2 di Kuching, hasil jaringan Makeche Ndumba dan Gilmar Da Silva.

Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut buat skuad yang dikendalikan sementara oleh Mustafa Kamal itu, menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kesepuluh, hanya memiliki kelebihan satu mata mengatasi pasukan tangga kesebelas Pulau Pinang dan tiga mata mengatasi pasukan tangga tercorot Pahang. 

- Advertisement -