Oleh Muhammad Aiman
Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan sekali lagi mengulangi permusuhan di atas gelanggang apabila masing-masing melangkah ke final Kejohanan Floorball Piala Merdeka 2016 bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita setelah mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu.
Turun dengan status juara bertahan, pasukan lelaki Pulau Pinang jelas bersemangat tinggi mahu mengulangi pencapaian musim lalu namun mereka tidak diberi laluan mudah apabila dikerah bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 ke atas Selangor.
Nasib sama turut dialami Kuala Lumpur ‘A’ apabila berdepan tentangan sengit Sabah sebelum menang 3-2 sekaligus menepati sasaran awal yang diletakkan untuk mara ke final.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini telah bertemu di peringkat kumpulan dengan KL ‘A’ mencatat kemenangan 6-4.
Sementara itu, Negeri Sembilan menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas menewaskan KL ‘B’ 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh manakala Perak menundukan Johor 3-2 menerusi penentuan penalti untuk mengakhiri cabaran di tempat kelima.
Bagi aksi kategori wanita pula, Pulau Pinang yang unggul dengan dua kemenangan besar dalam peringkat kumpulan tampil dengan satu lagi aksi bertenaga untuk menyingkirkan Sabah 5-0 sebelum KL ‘A’ menempah pertemuan menentang mereka di final setelah menundukkan Johor 6-3.
Dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Pulau Pinang beraksi garang membelasah KL ‘A’ 9-0 dan ia pastinya suntikan keyakinan terbaik buat skuad bimbingan Chiam Ter Min menjelang aksi final pada Ahad.
Perlawanan penentuan tempat kelima pula menyaksikan Selangor menewaskan KL ‘B’ 4-1.