Oleh Muhammad Aiman
Setelah menamatkan pusingan pertama Liga Super di kedudukan tercorot dan terlepas aksi Piala Malaysia, Pulau Pinang mahu merubah nasib mereka dengan mensasarkan kebangkitan di pusingan kedua yang dijadual bermula 6 Mei ini.
Lebih menyuntik motivasi mereka, lawan pertama akan ditentang pada aksi pembukaan pusingan kedua adalah Felda United di Stadium Bandaraya.
Felda United adalah satu-satunya pasukan yang ditewaskan Harimau Kumbang ketika pusingan pertama malah skuad bimbingan B.Sathianathan itu juga masih kepenatan selepas beraksi dalam Piala AFC pada Rabu.
Justeru, Zainal Abidin Hassan berpendapat pemainnya boleh memanfaatkan kelebihan itu untuk memburu tiga mata yang seterusnya akan memberikan lebih keyakinan untuk mengharungi baki saingan.
“Persediaan kami agak memuaskan, saya lihat ada banyak peningkatan terutama di bahagian serangan dan pertahanan sejak aksi terakhir menentang JDT. Memang kemenangan ke atas Felda di pusingan pertama satu tonik, tetapi lupakan kemenangan itu dan fokus aksi selepas ini.
“Mereka pastinya sudah mengkaji permainan kami, jadi ada rombakan dan perubahan yang perlu saya buat. Kita juga ada beberapa masalah kecederaan pemain utama namun saya yakin masih boleh turunkan skuad utama, dan menyediakan sebuah pasukan mantap.”
Ketika kedua-dua pasukan bertemu pada 9 April lalu di Stadium Jengka, Pulau Pinang menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan dengan mencatat kemenangan tipis 1-0.
Dalam pada itu, Zainal berkata pasukan Harimau Kumbang itu sudah mengenalpasti beberapa calon pemain import baru untuk dibawa masuk bagi memperkasakan bahagian tengah dan serangan namun menjelaskan perkara itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang.