Oleh Muhammad Aiman
Jaguh badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei berpendapat platform untuk mencari dan mengetengahkan lebih ramai bakat baru dalam sukan badminton sudah tersedia melalui penganjuran Purple League, liga badminton profesional pertama tanah air.
Pemain nombor dua dunia itu percaya andai Purple League yang memasuki edisi ketiga penganjurannya pada tahun ini dimanfaatkan sebaiknya, negara tidak akan ketandusan bakat-bakat muda berpotensi besar dan kompeten – dan dia bersedia untuk menyumbang ke arah merealisasikan hasrat itu.
Bercakap kepada pemberita selepas diperkenalkan sebagai duta Purple League dalam majlis di PJ Hilton, Chong Wei berkata, “Saya lihat ia sebagai satu inisiatif yang baik, Purple League sudah berlangsung selama dua musim sebelum ini, dan saya harap yang ketiga tahun ini akan jadi lebih baik.
“Saya harap pengalaman serta tenaga saya boleh bantu untuk lonjakkan Purple League, kita tidak mahu satu liga yang mana pemain datang dan bermain, tapi tidak mendapat manfaat darinya.
“Kalau kita lihat negara seperti Indonesia dan China, kelab di sana menghantar pemain mereka untuk mengambil bahagian pada usia muda dan dalam 10 tahun mereka dapat lahirkan pemain yang konsisten pencapaiannya di pentas antarabangsa. Ia satu perancangan dan perjalanan yang panjang, tapi mereka telah terbukti berjaya.”
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut berpendapat kehadiran satu atau dua bintang badminton ternama dunia seperti Lin Dan atau Chen Long akan membantu melonjakkan lagi nama liga itu seiring menarik minat lebih ramai peminat cilik untuk terbabit dengan sukan badminton.
Untuk rekod, Purple League diperkenalkan pada 2014 dan telah menyaksikan kelibat ramai pemain ternama dunia antaranya Chong Wei sendiri, Kento Momota, Lee Hyun Il, Lee Yong Dae, Yoo Yeon Seung, Jan O Jorgensen dan Tommy Sugiarto.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Purple League, Dato’ Jack Koh berkata reputasi dan kredibiliti Chong Wei adalah faktor signifikan mengapa liga itu memilih menjalin kerjasama bersama Chong Wei.
Tambah Jack, kehadiran Chong Wei dapat membantu bakat-bakat muda yang mempunyai potensi untuk menimba pengalaman berharga dari seorang pemain yang merupakan ikon sukan itu sendiri seterusnya menyediakan kelompok besar pemain untuk mewakili negara di masa akan datang.
“Kami berpendapat ianya penting untuk melonjakkan minat dan potensi yang ditunjukkan terhadap sukan ini seawal usia muda, menyediakan satu platform kepada bakat-bakat muda untuk belajar dan meningkatkan kebolehan diri melalui tunjuk ajar dan bimbingan pemain-pemain yang hebat dan ada reputasi.
“Kita telah berkerjasama dengan ramai Olimpian dan bekas pemain yang hebat antaranya adik-beradik Razif dan Rashid Sidek, Yap Kim Hock, Foo Kok Keong, Ong Ewe Hock, dan terbaru dengan Chong Wei, kita mahu membantu bakat-bakat muda untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini, dan satu hari nanti menghadiahkan pingat emas pertama Olimpik yang sekian lama dinantikan,” ujar Jack.