Ketua Jurulatih Pasukan Futsal Malaysia – Chiew Chun Yong(kanan)

Pasukan futsal kebangsaan bakal menjadikan Qatar sebagai destinasi menimba pengalaman bagi menghadapi Kejuaraan Futsal Persekutuan Asia Tenggara (AFF) 2017 di Vietnam yang akan berlangsung dari 25 Oktober – 2 November depan.

Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong berkata mereka akan bertandang ke Qatar pada pertengahan Oktober dan menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan berkualiti di sana yang boleh memberi pendedahan seterusnya memperkasakan persiapan pasukan.

“Kita menerima banyak jemputan antaranya dari China dan Indonesia, tetapi saya memilih Qatar. Ini kerana saya mahu pemain beraksi menentang pasukan yang mengamalkan corak permainan pantas. Jadi apabila menentang pasukan lebih baik, mereka perlu lebih bagus dari pasukan lain.

“Sasaran kita adalah sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir AFF. Jadi saya berharap pemain memanfaatkan kunjungan ke Qatar ini menimba pengalaman sebaik mungkin.

“Tunjukkan komitmen, sikap serius dan atitud yang baik. Saya percaya ini adalah destinasi pilihan terbaik untuk kita sebelum turun ke Vietnam,” ujar Chun Yong.

Kejuaraan Futsal AFF nanti akan menyaksikan Malaysia beraksi dalam Kumpulan A bersama-sama Myanmar dan Laos setelah Australia dan Filipina mengambil keputusan menarik diri manakala Thailand, Brunei, Indonesia dan tuan rumah Vietnam berentap di dalam Kumpulan B setelah Timor Leste turut menarik diri.

Malaysia dianggap sebagai satu daripada pasukan yang perlu diberi tumpuan setelah mempamer aksi cemerlang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu dengan memenangi pingat perak setelah tewas kepada Thailand dalam aksi terakhir round-robin kepada juara bertahan, Thailand. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -