Air mata kegembiraan membasahi pipi atlet olahraga para negara, Siti Noor Radiah Ismail setelah berjaya memenangi pingat emas acara lompat jauh wanita di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 pada Isnin.
Siti Noor Radiah memenangi emas kategori T20 (masalah pembelajaran) dengan lompatan sejauh 4.99m sekaligus menebus kecewa sekadar menang pingat perak di Singapura dua tahun lalu.
Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, atlet kelahiran Johor itu mengatasi rakan senegara, Nani Shahiera Zawawi yang memenangi perak dengan lompatan 4.78m serta atlet Indonesia, Tiwa yang meraih gangsa dengan catatan 4.66m.
“Saya cukup gembira dapat capai sasaran emas walaupun tidak dapat mengatasi rekod terbaik saya (5.20m). Saya berusaha keras sejak kegagalan di Singapura untuk emas ini, dan saya juga cukup terharu apabila ahli keluarga seramai lima orang datang dari Segamat (Johor) bagi memberikan sokongan kepada saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mendoakan kejayaan ini,” ujar Siti Noor Radiah.
Dalam pada itu, Malaysia turut menambah lima lagi emas dari lapangan olahraga pada hari pertama sukan itu dipertandingkan.
Faridul Masri memenangi emas acara merejam lembing kategori F56 (kecacatan anggota) dengan catatan sejauh 28.86m yang dilakukannya pada percubaan keempat.
Atlet Vietnam, Trinh Cong Luan meraih perak dengan rejaman sejauh 24.2m manakala gangsa menjadi milik Hirdan Abdul Kadir dari Brunei dengan catatan 22.17m.
Dalam acara pecut 100m T12 (masalah penglihatan), Muhamad Afiq Mohamad Ali menghadiahkan emas dengan catatan masa 11.45s, mengatasi dua pelari Thailand iaitu Chaiya Som Dech yang berpuas hati meraih perak dengan catatan 11.45s dan pemenang gangsa, Wongngoen Amnat (11.81s).
Menurut Afiq, pelari berusia 23 tahun, “Di Singapura saya menang emas 200m, kini saya buktikan saya juga boleh lakukannya dalam acara 100m. Memang sasaran saya menang dua emas di Para KL2017 ini dan saya berharap dapat kekalkan momentum apabila berlari dalam acara 200m.”
Eddy Bernard pula mengetuai penamat 1-2 buat Malaysia dalam acara 100m T37 (celebral palsy). Pelari dari Sabah itu memenangi emas dengan catatan 12.45s manakala Jacklon Ganding meraih perak dengan 12.48s.
Pingat gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Le Van Manh dengan catatan 12.68s.
Pelari paralimpik, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin turut tidak ketinggalan menyumbang emas menerusi acara 800m T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan masa 2:34.12s, menewaskan rakan senegara Maswinah Suanang yang meraih perak dengan catatan masa 2:41.24s.
Gangsa dimenangi oleh pelari Thailand, Phoophaploy Wipha dengan catatan 3:01.80s.
Turut memenangi emas, K.Hemala Devi menerusi acara lempar cakera F12 (masalah penglihatan) dengan balingan sejauh 32.46s.
Perak dimenangi atlet Brunei, Nor Hensan Mata yang melakukan balingan sejauh 24m manakala seorang lagi atlet negara Noor Kalsum Fadil dengan catatan 18.46m.