2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Nama Khairul Hafiz Jantan terus menjadi sebutan dan tumpuan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016, kali ini raja pecut baru tanah air itu mengetuai kuartet Melaka meraih pingat emas acara lari berganti-ganti 4x400m lelaki, pada Jumaat.

Atlet berusia 18 tahun itu bersama-sama Badrul Hisyam Abdul Manap, Azam Masri dan Emyrul Haziq Borhan melakar satu lagi rekod baru kejohanan setelah mencatat 3:12.66s, memadam rekod lama 3:15.34s milik kuartet Terengganu yang dilakukan pada SUKMA 2010.

Ia adalah emas keempat peribadi buat Khairul yang sebelum ini turut memenangi acara 100m, 200m dan 4x100m, kesemuanya dengan catatan rekod baru sekaligus menyaksikannya mendahului senarai calon Olahragawan SUKMA yang akan diumumkan pada hari penutup, Ahad ini.

“Saya gembira dengan pencapaian di sini (Kuching), saya sepatutnya tidak beraksi dalam acara 4x00m tetapi saya ikut permintaan jurulatih. Untuk menang empat pingat emas tentunya cukup hebat, ianya pencapaian terbaik sepanjang hidup saya,” ujar Khairul.

Rabu lalu, Khairul mencetus sensasi dalam acara riben biru 100m apabila meraih pingat emas dengan catatan 10.18s, meleburkan rekod kebangsaan 10.30s milik Watson Nyambek yang dilakar ketika pra Sukan Komanwel 1998.

Dia kemudiannya meleburkan rekod 200m SUKMA milik bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad dengan catatan 21.14s di peringkat separuh akhir pada Khamis, sebelum memperbaharui catatan itu sekali lagi ketika memenangi emas pada Jumaat,

Namun ia belum memadai untuknya menyentuh rekod kebangsaan paling lama bertahan, 20.92s milik lagenda olahraga negara ‘the flying doctor’ Tan Sri Dr. M.Jegathesan, yang dilakukan ketika beraksi di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Selain itu, pelari terpantas remaja Asia itu bersama-sama Asnawi Hashim, Badrul Hisyam dan Azam membantu kuartet 4x100m Melaka meraih emas dengan catatan rekod baru kejohanan 39.89s. 

- Advertisement -