Oleh Muhammad Aiman
Kepuasan jelas terpancar di wajah atlet paralimpik, Siti Noor Radiah Ismail apabila dia menebus kegagalan memenangi emas di Sukan Para Asean Singapura tahun lalu, dengan meraih pingat gangsa di temasya Paralimpik Rio De Janeiro.
Sambil mengakui dia sendiri meragui kemampuannya untuk menyumbang pingat selepas tampil kurang menyerlah di Para Asean, Noor Radiah gembira usaha dan kerja kerasnya berjaya membuahkan hasil dan menyerlahkan prestasi terbaik tepat pada waktunya.
Lebih manis, kejayaan mengakhiri saingan lompat jauh wanita T20 (masalah intelektual) di tempat ketiga dengan lompatan 5.20m (rekod baru para Asia) itu, menjadikan Noor Radiah sebagai atlet wanita pertama negara untuk menang pingat dari sukan olahraga di temasya paralimpik.
“Saya tidak tahu adakah saya boleh beraksi di sini (Rio) selepas kegagalan di Singapura. Saya berikan sehabis yang saya terdaya untuk kembali bangkit selepas itu dan lakukan yang terbaik di sini untuk tebus apa yang saya kehilangan di Para Asean. Saya terlalu gembira, tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.
“Saya bersyukur kerana saya dapat perbaiki rekod peribadi terbaik saya, dan akan cuba untuk terus meningkatkan lagi pencapaian saya selepas ini. Saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih (Syahrul Amri Suhaimi), keluarga dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kemenangan saya,” ujar atlet berasal dari Johor itu.
Untuk rekod, ketika di Singapura tahun lalu, Noor Radiah berpuas hati dengan pingat perak, tewas kepada Rica Oktavia dari Indonesia apabila sekadar melakukan lompatan 4.98m meskipun ekspetasi tinggi diletakkan ke atasnya hasil kejayaan memenangi emas di Sukan Para Asia Incheon setahun sebelum itu dengan catatan rekod baru para Asia 5.10m.
Bagi Syahrul Amri, “Lega untuk melihat Radiah dapat menyumbangkan satu lagi pingat buat Malaysia. Saya cukup berpuas hati dengan prestasinya, apatah lagi dia pecahkan rekod para Asia, tiada apa lagi yang boleh saya minta. Secara keseluruhan, saya gembira dengan pencapaian kedua-dua atlet saya di Rio.”
Abdul Latiff Romly, seorang lagi atlet di bawah bimbingan Syahrul, tiga kali memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam laluan untuk memenangi pingat emas ketiga buat Malaysia menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (masalah intelektual) Ahad lalu. Â Â Â