Bermain digelanggang yang diibarat mini Gelora Bungkarno di Jakarta tidak melemahkan semangat juang skuad Harimau Muda di Kejuaraan AFF B16 dalam misi memburu slot final kali kedua.
Selepas muncul juara pada 2013, Malaysia pastinya tidak mahu kemarau tanpa trofi berlarutan.
Laluan berliku yang ditempuh skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib di peringkat kumpulan sebelum menoktahkan status selaku naib juara kumpulan B.
Aksi separuh akhir esok sedikit tempang buat Raja Azlan Shah apabila pemain tengah, Muhd Fahmi Daniel Mohd Zaaim tidak akan beraksi kerana digantung selepas mengumpul dua kad kuning ketika menentang Laos.
“Kami akan berikan yang terbaik walaupun berdepan sesiapa sahaja. Pemain pemain lain akan diberi peluang susulan penggantungan seorang pemain kerana matlamat kami untuk memberi sebanyak mungkin masa untuk bermain,”kata Raja Azlan.
Raja tidak menolak pemain pemainnya akan merasai gugup kerana Delta Sidoarjo bakal dilimpahi dengan lautan merah putih.
Namun ia bukan bermakna Harimau Muda sudah menyerah kalah, sebaliknya ia akan dimanfaat dengan sebaiknya.
Malah, perlawanan esok ibarat aksi separuh akhir antara Malaysia dan Indonesia ketika Kejuaraan AFF B19.
“Kapasiti lebih kurang 35 ribu, memang agak janggal bagi pemain pemain kerana kapasiti itu sebanyak itu agak jarang dirasai. Mereka akan gugup, tetapi ini adalah pengalaman terbaik untuk mereka apabila bermain dengan jumlah penonton yang ramai,”kata Raja Azlan.
Raja juga tidak menolak telah menemui formula untuk berdepan dengan corak serangan Garuda Muda, namun tetap mengingatkan pemain pemain untuk berwaspada.
“Segalanya bergantung kepada situasi, kita tahu kekuatan Indonesia kerana mereka pernah bermain dengan kami dan mereka juga tahu kekuatan kami.
“Kami akan terus bersaing dan sudah ada perancangan untuk Indonesia kerana mereka bagus ketika menyerang dan kami perlu bertahan dengan pantas,”kata Raja Azlan lagi.
Ketika aksi persahabatan pada Julai, Malaysia menang 4-3 ke atas Indonesia.
Selain pertemuan diantara Malaysia dan Indonesia, satu lagi aksi separuh akhir melibatkan juara kumpulan B, Thailand yang akan berdepan Myanmar untuk memburu slot ke final.