Berdasarkan kedudukan ranking mata terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) setakat minggu lalu, Androni Giacatolli-Sidermec menjadi pasukan paling atas dari kalangan 22 pasukan pada edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, bermula 6 hingga 13 April ini.
Pasukan kendalian Gianni Savio yang berdaftar di Itali itu berada di kedudukan ke-23 dalam senarai pasukan lebuh raya dunia dengan 2,767 mata, diikuti Neri Sottoli Selle Italia-KTM (1,682.72), Gazprom-Rusvelo (1,425) dan dua pasukan benua Team Sapura Cycling (1,222) dan Terengganu Inc TSG Cycling Team (1,190). Bardiani-CSF dari Itali yang gah dengan kehadiran Mr Langkawi, Andrea Guardini tetapi kurang menyertai perlumbaan, berada di tangga ke-58 setakat ini.
Begitupun, ranking pasukan dan reputasi pelumba bukan penentu dan jaminan mereka akan terus cemerlang di sepanjang lapan peringkat perlumbaan LTdL 2019. Terbukti sebelum ini, banyak kejutan dalam jelajah terulung Asia itu sejak ia diperkenalkan pada 1996.
Ini kerana, pelumba yang berlumba di Oceania, Amerika Latin, Eropah dan Timur Jauh Asia sebelum terbang ke Malaysia, bakal berdepan cabaran baru iaitu faktor cuaca panas tropika sebenar di negara ini, selain laluan pendakian berstatus hors di Genting Highlands, yang pastinya menyediakan banyak mata untuk dipungut.
Pada tahun lalu, dengan hanya peringkat pendakian ke Cameron Highlands, TSG sekadar menduduki tempat ke-13 berpasukan keseluruhan walaupun pelumbanya, Artem Ovechkin memenangi jersi kuning individu keseluruhan, sebaliknya Wilier Triestina menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik untuk mengungguli gelaran pasukan terbaik keseluruhan sekalipun pelumba terbaiknya Giuseppe Fonzi sekadar di tempat kelima individu keseluruhan.
Berdasarkan senarai awal pasukan dan pelumba yang dihantar kepada penganjur LTdL 2019, Human Voyage Sdn Bhd, sekali lagi LTdL bakal menyaksikan percaturan strategi terbaik setiap pengurus untuk sama ada mengutamakan fokus mereka terhadap pemburuan jersi kuning individu, jersi Raja Bukit atau gelaran berpasukan terbaik.
Androni yang agak tenggelam sejak beberapa edisi lalu adalah antara pasukan paling berjaya di LTdL apabila Savio mula meraih gelaran jersi kuning menerusi Hernan Dario Munoz pada 2002, Fredy Gonzalez (2004), Ruslan Ivanov (2008), Jose Serpa (2009 dan 2012), Jose Rujano (2010) dan terakhir Jonathan Monsalve (2012).
Pasukan itu juga memenangi gelaran berpasukan pada 2003, 2006, 2008, 2009 dan 2012, selain dua gelaran Raja Pecut menerusi Alberto Loddo (2007) dan Mattia Gavazzi (2009). Namun selepas 2012, Androni agak tenggelam dengan hanya dua kemenangan peringkat menerusi Kenny Van Hummel (2014) dan terakhir Manuel Belletti di Muar pada tahun lalu.
Untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Androni di LTdL mungkin sukar kerana pasukan itu turut aktif mengambil bahagian dalam perlumbaan yang sudah bermula di benua Eropah. Savio perlu memilih sama fokus terhadap kemenangan peringkat di laluan landai menerusi Marco Benfatto dan Matteo Pelucchi atau memberi tumpuan terhadap perebutan jersi kuning dan raja bukit menerusi dua pelumba veteran, Alessandro Bisolti dan Daniel Munoz Giraldo serta pelumba muda Kevin Riviera Serrano.
Perebutan jersi kuning dan raja bukit dijangka sengit kerana selain TSG dan Ovechkin, pelumba kelahiran Colombia, Alvaro Duarte yang menduduki tangga ke-9 keseluruhan ketika bersama Forca Amskins Racing, kini tampil semula dengan pasukan benua baru, Brunei Continental Team.
Turut dijangka menghangatkan perebutan jersi kuning dan jersi raja bukit ialah pelumba Floyd’s Racing dari Australia, Jonathan Clarke kerana pelumba Australia yang masih segar dengan kemenangan jersi kuning di Tour de Taiwan 2019 dua minggu lalu, serta turut arif dengan perlumbaan di LTdL ketika menyarung jersi UnitedHealthCare Pro pada 2012, 2014 dan 2016.
Neri Sottoli juga dilihat mampu berada di kelompok utama apabila menyenaraikan dua bekas pelumba Wilier Triestina, Giuseppe Fonzi yang menduduki tangga kelima keseluruhan dan Luca Raggio (ke-12) pada tahun lalu.
Oliver’s Real Food Racing yang turut dibarisi pelumba tangga kedua keseluruhan LTdL 2017, Cameron Bayly yang menyarung jersi IsoWhey ketika itu, selain Brendon Davids yang menduduki tangga ketujuh bersama Bennelong pada tahun lalu, serta muncul juara Jelajah Malaysia 2017.
Pasukan muka baru dari Jepun, UKYO juga dilihat mampu menyinar menerusi pelumba kelahiran Belanda, Raymond Kreder – pemenang jersi kuning dan raja pecut Tour of Tochigi di Jepun, minggu lalu yang akan dibantu rakan sepasukan dari Australia yang pernah menyarung jersi Isowhey dan menduduki tangga ke-13 keseluruhan LTdL 2017, Robbie Hucker.
Seorang lagi yang disebut-sebut mampu memberi saingan dalam pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 4 LTdL 2019 nanti adalah pelumba Colombia yang mewakili Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre yang muncul juara di Qinghai Lake 2018 dan terbaru keempat keseluruhan di Tour of Rwanda, awal Mac lalu.
Kehadiran pasukan baru Shenzen Xidesheng mungkin tidak begitu dipedulikan tetapi dengan kehadiran pelumba Ukraine Ilya Davidenok dengan reputasi sebagai bekas juara Tour of Fuzhou dan Tour of Qinghai Lake mungkin mampu mengejutkan peloton bagi saingan mendaki dan keseluruhan.
Apapun, perancangan awal hanya mampu dilakukan di atas kertas tetapi strategi sebenar pengurus pasukan mungkin terpaksa dirangka sebelum memulakan setiap peringkat dan mengambil kira kedudukan terkini, bentuk laluan peringkat seterusnya serta corak kayuhan yang pastinya menyaksikan ada banyak serangan dan cubaan meloloskan diri dari kelompok besar.
Hanya reputasi Guardini yang kekal ampuh dan dilihat memberi kelebihan kepada pelumba Itali itu dalam laluannya untuk menambah koleksi empat gelaran Raja Pecut dan 24 kemenangan peringkat biarpun itu bukan jaminan kepada Mr Langkawi.
Senario ini menyebabkan sekali lagi membuatkan edisi ke-24 LTdL 2019, yang akan bermula di perkarangan KLCC Sabtu ini dan berakhir di Dataran Lang Langkawi 13 April nanti, sengit, menarik tetapi sukar diramal.
SENARAI PASUKAN LTdL2019:
- VINO-ASTANA MOTORS (Kazakhstan)
- MICHELTON BIKE EXCHANGE (China)
- BARDIANI CSF (Italy)
- ANDRONI GIOCATTOLI-SIDERMEC (Italy)
- GAZPROM RUSVELO (Russia)
- NERI SOTTOLI SELLE ITALIA KTM (Italy)
- TERENGGANU INC. TSG CYCLING TEAM (Malaysia)
- TEAM SAPURA CYCLING TEAM (Malaysia)
- CUSTOM CYCLING INDONESIA (CCI) TEAM (Indonesia)
- KSPO BIANCHI ASIA PRO CYCLING TEAM (Korea)
- GIANT CYCLING TEAM (China)
- FLOYD’S PRO CYCLING (Canada)
- PRO RACING SUNSHINE COAST (Australia)
- ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM (Australia)
- INTERPRO CYCLING ACADEMY (Japan)
- TEAM UKYO (Japan)
- OLIVER’S REAL FOOD RACING (Australia)
- PROTOUCH (South Africa)
- BRUNEI CONTINENTAL CYCLING TEAM
- SHENZEN XIDESHENG CYCLING TEAM (China)
- MALAYSIAN NATIONAL TEAM
- JAPAN NATIONAL TEAM