Oleh Muhammad Aiman
Harapan Malaysia untuk mempertahankan pingat emas badminton beregu wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerima tamparan setelah pemenang emas edisi lalu, Amelia Anscelly membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Amelia telahpun menyerahkan surat pengundurannya kepada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen pada Isnin di Bukit Kiara dan dikhabarkan tindakan nekad pemain berasal dari Sabah itu adalah disebabkan rasa kecewa seringkali bertukar pasangan.
Pemain itu menyertai pasukan kebangsaan pada 2012 dan melalui fasa terbaik dalam kariernya ketika bergandingan dengan Soong Fie Cho di mana mereka memenangi gelaran Grand Prix Emas Terbuka India 2015 sebelum meraih emas di temasya Sukan Sea Singapura 2015.
Begitupun, segalanya serba tidak menjadi buat Amelia apabila Fie Cho mengalami kecederaan lutut pada Januari 2016, dan dia digandingkan dengan Teoh Mei Xing dan kemudiannya Goh Yea Ching.
“Ianya sukar buat saya, ketika saya mula membentuk keserasian dan bermain baik dengan Mei Xing, dia kemudiannya digandingkan dengan pemain lain. Kemudian saya disuruh berganding dengan Yea Ching, oleh sebab permainan kami berdua adalah menyerang, maka kami bergelut dengan prestasi.
“Baru-baru ini saya mengalami kecederaan tumit dan saya diberitahu jurulatih sedang mencari gandingan baru pula untuk saya. Sebagai pemain senior, saya rasa tidak dihargai. Saya telah berfikir panjang sebelum membuat keputusan ini,” kata Amelia.
Pemain berusia 28 tahun itu bagaimanapun tetap berterima kasih kepada BAM di atas segala peluang dan tunjuk ajar yang telah diberi selama hampir lima tahun dia di kem kebangsaan sehingga membolehkannya mencapai beberapa kejayaan di pentas antarabangsa.