Status kedudukan atlet lontar peluru F20 negara, Muhd Ziyad Zolkefli diputuskan bahawa penyertaannya di Paralimpik Tokyo 2020 dibawah status DNS (did not start) sekaligus sah kehilangan pingat emas.

Menerusi ciapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ti Lian Ker di facebook, rekod yang dilakar Ziyad termasuk 17.94 meter dibatalkan Pengadil Pertandingan kerana Ziyad dan dua lagi atlet Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) lewat melaporkan diri ke pusat panggilan (Call Rooms) sebelum acara dilangsungkan.

Keputusan dibuat selepas wakil Ukraine membuat bantahan sekaligus mengguna pakai Peraturan 5 Pertandingan Olahraga World Para Athletic (Failure To Report To The Call Rooms).

Peraturan tersebut menyatakan seseorang atlit tersebut boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau pun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan ( Call Rooms ).

Ia sekaligus mengesahkan status penyertaan Muhd Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) semalam sebagai DNS.

 

“Kronologi kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlit masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.

“Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlit-atlit dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlit tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.

“Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.

“Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.

“Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlit Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS,”jelas Dato’ Sri Ti Kian Ler menerusi laman facebooknya.
Juri Rayuan Para Olahraga (WPA) memutuskan menolak rayuan pegawai Malaysia termasuk Chef de Mission, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin yang membuat bantahan selepas keputusan rasmi diumumkan.
Ini bermakna Ukraine sah menghuni dua podium teratas menerusi Maksym Koval (emas) dan Oleksandr Yarovyi sementara Efstratios Nikolaidis dari Greece meraih gangsa.
- Advertisement -