Demi memperbaiki prestasi pasukan dan memastikan sasaran ke Liga Premier kembali berada dalam landasan, MOF FC mengambil tindakan drastik memecat Razip Ismail dan melantik bekas pemain dan jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid sebagai ketua jurulatih baru, berkuatkuasa Rabu.

Ini sekaligus menjadikan Razip yang juga bekas pengendali Harimau Muda C, Kuala Lumpur, Pahang dan Perlis sebagai jurulatih pertama dalam saingan Liga FAM untuk dipecat.

Sumber Sports 247 memberitahu Razip sudahpun beberapa kali diberi amaran dan berdepan tekanan hebat untuk meletakkan MOF FC sebagai satu daripada pencabar utama saingan setelah pasukan itu membuat persiapan gah dengan berbelanja besar merekrut beberapa pemain berprofil tinggi untuk memperkuatkan pasukan di jendela perpindahan kedua baru-baru ini.

Ini termasuklah dua bekas penggempur kebangsaan Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya, Syazwan Roslan, Akhir Bahari, Hafizi Amiruddin (kesemuanya dari Marcerra Kuantan FA) serta Ezrie Shafizie (Melaka United).

Namun prestasi tidak konsisten disusuli kekalahan terbaru kepada barisan sepuluh pemain Angkatan Tentera Malaysia dalam aksi ketujuh pada Isnin lalu menyebabkan pengurusan sudah tidak lagi boleh bertolak ansur dan membuat keputusan untuk menamatkan khidmatnya.

MOF FC ketika ini berada di tangga keempat dalam Kumpulan A Liga FAM yang membabitkan tujuh pasukan dengan mengumpul sembilan mata. Kumpulan ini sedang diterajui oleh Kuching FA dengan 14 mata manakala ATM pula di tangga kedua dengan 12 mata dan Selangor United di tangga ketiga (11 mata).

Dengan berbaki hanya lima perlawanan sahaja untuk diharungi bagi musim 2018, sasaran utama buat Manzoor Azwira ketika ini adalah memastikan MOF FC dapat menamatkan saingan di kedudukan dua teratas seterusnya layak ke separuh akhir.

Hanya dua pasukan yang kemudiannya berjaya melayakkan diri ke final akan mendapat tiket untuk beraksi di Liga Premier 2019.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -