Oleh Muhammad Aiman
Pengendali Perlis, Razip Ismail membuat keputusan drastik melepaskan jawatannya setelah pasukannya mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan 100PLUS Liga Premier, kali ini tewas besar 0-5 kepada Kuantan FA.
Kedudukan Razip sememangnya ibarat telur di hujung tanduk sejak sebelum perlawanan bermula memandangkan Perlis kekal sebagai satu-satunya pasukan belum mencatat sebarang kemenangan dan terperosok di tangga tercorot dengan hanya dua mata.
Dengan prestasi Perlis tidak menunjukkan peningkatan sebaliknya mengalami kekalahan terbesar mereka sejak kekalahan 1-6 kepada Kedah pada 2014, Razip berpendapat dia tidak lagi mampu merubah nasib pasukan itu.
“Saya sudah melakukan apa yang terdaya, segala-gala yang boleh bagi memastikan Perlis boleh memberi saingan tetapi semuanya serba tidak menjadi dan kita terus kemarau kemenangan.
“Kekalahan ini amat mengecewakan, bolos lima gol adalah keputusan yang sukar diterima dan saya sudah memaklumkan kepada pengurusan berhubung perletakan jawatan sebagai jurulatih Perlis,” kata Razip.
Pengunduran Razip bermakna dia menjadi jurulatih pertama untuk dipecat ataupun meletakkan jawatan dalam saingan Liga Premier dan yang ketiga dalam Liga Malaysia selepas Azmi Mohamed (letak jawatan) dan Karl Heinz Weigang (dipecat).
Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur itu, Kuantan FA beroleh lima jaringan mereka menerusi Baqiudin Samsudin, Ljubo Baranin, Sim Woon Sub serta Nabilah Khan Razali yang menjaringkan dua gol.
Ia adalah kekalahan kelima secara keseluruhan buat singa utara dari tujuh perlawanan yang telah diharungi musim ini. Aksi seterusnya buat Perlis adalah menentang pasukan Liga Super, Sarawak dalam aksi pusingan ketiga Piala FA sebelum saingan Liga-M berhenti rehat selama hampir sebulan.