Pasukan PKNS FC mungkin tidak mempunyai penyokong sehebat pencabar mereka Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan dalam Kumpulan A Piala Malaysia.
Namun itu langsung tidak mematahkan semangat anak buah Datuk K Rajagobal untuk meneruskan perjuangan dalam memburu slot ke suku akhir.
PKNS FC kini masih bersaing rapat dengan Kedah apabila masing-masing mengumpul 4 mata selepas tewas dan menang sekali serta terbaharu, seri 1-1 dalam aksi ketiga di Stadium Shah Alam pada Jumaat.
Melihat kepada keputusan itu, nyata ia akan terus menjadi persaingan yang cukup sengit untuk merebut slot ke suku akhir tatkala Terengganu masih kekal di tangga teratas dengan rekod bersih tanpa kalah.
Pemain tengah, Muhammad Akram Mahinan sedar aspek kehadiran penyokong di stadium sentiasa menjadi suntikan semangat kepada pasukan dan kelebihan itu dilihat lebih memihak kepada tiga pencabar mereka yang nyata mempunyai kelompok penyokong lebih besar khususnya apabila beraksi di stadium keramat masing-masing.
Selepas tiga perlawanan berlangsung dalam kempen Piala Malaysia ketika ini, jumlah kehadiran penyokong turut diperkatakan, namun pemain-pemain PKNS FC melihat perkara itu sesuatu yang subjektif dengan percaya penyokong mereka masih ada untuk memberikan semangat walaupun tidak seramai pasukan negeri lain.
“Untuk PKNS sendiri, sememangnya kami sedar penyokong tidaklah seramai seperti pasukan lain dan daripada awal saya berhijrah ke pasukan ini, saya sudah jangkakan dan bersedia dengan kelompok penyokong yang kecil tanpa rasa itu akan menjadi satu masalah besar.
“Apa yang penting, kami sebagai pemain tetap akan berjuang untuk rakan-rakan sepasukan dan khususnya kepada majikan untuk kami terus fokus perbaiki prestasi walaupun sedar setiap kali perlawanan, pemain ke 12 kami tidak seramai lawan seperti Kedah dan Terengganu”, jelasnya.
Pemain pertahanan PKNS FC, Qayyum Marjoni Sabil pula tetap menyeru kepada semua penyokong untuk terus hadir memberikan sokongan kepada mereka dalam baki perlawanan yang ada bagi saingan piala berprestij ini.
Walaubagaimanapun, dia menganggap jumlah kehadiran penyokong merupakan cabaran yang sering dihadapi oleh kelab-kelab kecil untuk menagih sokongan penyokong sejati dalam perlawanan-perlawanan penting dan situasi itu menjadikan pasukan lebih matang untuk berdepan dengan psikologi penyokong lawan lain yang lebih ramai.
“Saya sebagai pemain sebolehnya ingin lihat penyokong dapat hadir ke stadium dengan lebih ramai kerana semua orang tahu betapa tingginya nilai Piala Malaysia di mata kita kerana ia adalah piala berprestij.
“Kita yang beraksi dalam kelab kecil sepatutnya tidak boleh rasa terlalu terancam dengan kelebihan pasukan lain yang ada kelompok penyokong lebih besar sebaliknya sebagai pemain, tugas utama adalah untuk lebin fokus kepada prestasi masing-masing.
“Bahkan ia sebenarnya dapat mengajar kami untuk bijak menangani suasana kehadiran penyokong lawan yang nyata lebih tinggi berbanding pasukan sendiri dan apa yang penting adalah PKNS FC perlu bangkit untuk aksi seterusnya nanti”, katanya.
Untuk rekod, jumlah kehadiran penyokong dalam aksi terbaru PKNS FC menentang Kedah di Stadium Shah Alam pada Jumaat lalu adalah seramai 2,035 orang yang rata-rata dihadiri oleh penyokong Kedah.
Mahu atau tidak, PKNS FC perlu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka untuk aksi keempat pula yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Selasa bagi perbaiki kedudukan yang menyaksikan mereka kini di tangga ketiga peringkat kumpulan.