Oleh Muhammad Aiman
Penjaga gol Air Asia Allstars FC, Syamsuri Mustafa tekad sekali lagi berada pada prestasi terbaiknya untuk mempertahankan gawang dari dibolosi apabila pasukannya bertandang ke Stadium Inspen, Bangi untuk pertemuan suku akhir kedua Piala FAM menentang MOF FC.
Skuad dengan jolokan The Red Jets itu membawa bekalan tipis 1-0 hasil kemenangan menerusi jaringan Shahril Izwan Abdullah dalam aksi pertama di Stadium Shah Alam pada minggu lalu dan Syamsuri berpendapat adalah penting mereka tidak berasa selesa dengan kelebihan itu.
“MOF akan bermain di tempat sendiri, dan mereka terdesak mencari kemenangan selepas ketinggalan agregat. Saya yakin mereka akan bermain menyerang untuk mencari gol awal jadi kami perlu fokus sepanjang perlawanan. Kami tidak boleh memberi ruang kepada mereka, mengelakkan kesilapan-kesilapan mudah malah saya sendiri perlu berada pada prestasi terbaik.
“Kami sedar satu gol bukan kelebihan besar jadi sudah tentunya kami juga tidak akan bermain bertahan. Kami juga ada misi mahu menang perlawanan ini, jadi selain mempertahankan gawang, kami perlu memberi tekanan kepada mereka supaya dapat mencari tambahan jaringan.
“Saya lihat ketika ini semuanya nampak positif dalam pasukan. Kerjasama sepasukan, sentuhan di serangan, disiplin di pertahanan. Saya yakin jika kami bermain mengikut arahan jurulatih, dan menunjukkan komitmen penuh, sukar untuk MOF tewaskan kita,” kata Syamsuri.
Untuk rekod skuad bimbingan P.Maniam itu melangkah ke suku akhir setelah menduduki tangga ketiga Kumpulan A di belakang MISC-MIFA dan Felcra FC dengan mengumpul 30 mata manakala MOF bimbingan Zahasmi Ismail layak setelah menamatkan aksi Kumpulan B di tangga kedua.
Selain Syamsuri, pasukan milik jutawan penerbangan Tan Sri Tony Fernandes ini turut mempertaruhkan kelibat beberapa pemain berpengalaman lain antaranya bekas pemain kebangsaan Khyril Muhaimeen Zambry, Ariff Zulkifly, Badrulhisani Abdul Rahman, Hasmarul Fadzir Hassan dan Zamri Morshidi.