PELUMBA pecut warga Algeria dari MTN-Qhubeka, Youcef Reguigui mencipta kejutan apabila memenangi peringkat dianggap sukar bagi pelumba pecut, apabila memenangi Peringkat 7 Le Tour de Langkawi 2015 di puncak Bukit Fraser hari ini.
Kemenangan Reguigui itu turut membolehkan dia muncul sebagai penyarung jersi kuning baru, merampas jersi yang disarung pelumba Orica GreenEdge, Caleb Ewan pada empat peringkat sebelum ini.
Reguigui, 25, yang sepatutnya bertindak sebagai pembantu kepada rakan sepasukan Berhane Natnael, terpaksa membuat percaturan sendiri apabila kapten pasukan itu mengalah dan gagal mengikut rentak pantas yang di depan peloton yang yang diterajui tiga pelumba Team Sky.
Namun ketika menghampiri garisan penamat, Regu7igui bijak mengambil selekoh terakhir sebelum mengatasi cabaran pelumba Sky, Sebastian Henao dan pelumba Astana, Valerio Agnoli di garisan penamat, tatkala beberapa pelumba yang turut berada 30 saat di belakang Ewan, gagal menggunakan kesempatan itu.
Dalam kayuhan dianggap sukar sejauh 180km dari Shah Alam itu, Reguigui yang berharap kemenangan itu akan mencerahkan peluangnya untuk diserap dalam pasukan beraksi di Tour de France Julai ini, melengkapkan dengan masa 4 jam 38 minit 41 saat.
Ewan yang tiba hampir 14 minit selepas itu bagaimanapun, masih mengekalkan jersi biru Raja Pecut dengan selesa, 12 mata di depan Reguigui manakala pelumba pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen turut mengekalkan jersi merah Raja Bukit.
Namun, jersi putih Pelumba Terbaik Asia juga bertukar tangan kepada penyandang baru dari pasukan Aisan, Tomohiro Hayakawa yang menduduki tempat ke-16 pada peringkat itu, hanya tercicir 1:31s di belakang Reguigui.
Menyedari peringkat yang digantikan pada saat-saat akhir itu agak panjang berbanding jarak sepatutnya ke Genting Highlands, kumpulan pelumba menyimpan tenaga dan tidak mmenghiraukan tindakan sekumpulan empat pelumba – Francesco Chicchi (Androni); Liam Bertazzo (Southeast), Nik Azwan Zulkifle (NSC) dan Park Sung Baek (KSPO) – yang membuat pemecahan awal dan menguasai zon pendakian di Bukit Cerakah dan Genting Sempah serta tiga zon pecutan di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Gombak.
Laluan pendakian yang panjang itu menyaksikan ramai pelumba tercicir kerana tempo kayuhan yang pantas, dicipta pelumba pasukan Sky sepanjang zon pendakian terakhir menyebabkan ramai sukar bertahan sebelum Reguigui memastikan dia di depan pencabar terdekat dalam perebutan jersi kuning, Henao, Pierre-Luc Perichon (Bretagne-Seche) dan Mancebo.
“Saya gembira dengan kemenangan tidak disangka ini. Walaupun agak tertekan apabila dua pelumba kami tidak dapat meneruskan cabaran (Daniel Teklehaimanot dan Kudus Merhawi) manakala (Natnael) Berhane mengakui gagal bertahan hingga menyukarkan kami membuat keputusan.
“Tetapi kami saya semakin selesa dan bertenaga hari ini. Pada baki 25km, saya berada dalam kelompok depan dan memecut dengan baik pada selekoh terakhir untuk mencipta kemenangan pertama tahun ini. Saya berharap pasukan kami dapat mengawal perlumbaan esok dan mengekalkan jersi kuning ini.
“Saya pasti semua pasukan mengejar kemenangan peringkat terakhir yang landai esok dan Astana dan Orica pasti mengawal perlumbaan kerana mereka mempunyai pakar pecut,” kata Reguigui yang menang satu peringkat di Tour of Azerbaijan tahun lalu dan menghadiahkan kemenangan itu kepada bayi lelakinya berusia sebulan, Messa.
Dia turut menyifatkan peringkat ke Bukit Fraser itu mempunyai cabaran tersendiri kerana jarak yang jauh serta pandakian panjang dan banyak selekoh tajam berbanding Genting Highlands yang curam pada baki 15km terakhir.
Ewan pula terpaksa akur menyerahkan jersi kuning yang disandang sejak empat peringkat lalu tetapi gembira jersi Raja Pecut masih digenggam.
“Seperti saya katakan, kadang-kala pakar pecut pun boleh mendaki pada hari tertentu tetapi hari ini, saya gagal bertahan,” kata pelumba 20 tahun yang sekadar menduduki tempat ke-72 di peringkat itu, 14 minit 28 saat selepas Reguigui.
Reijnen yang lega kedudukannya sebagai penyerung jersi Raja Bukit terus kekal menjelang peringkat terakhir yang hanya mengandungi satu zon pendakian mudah di Selayang sebelum berakhir dengan loop enam pusingan, di depan Dataran Merdeka, esok, menganggap ini adalah kemenangan manis
“Saya mahu menambah pungutan mata tapi tidak terdaya hari ini,” katanya yang sepatutnya membantu Isaac Bolivar tetapi pakar pendaki UNitedHealthCare itu gagal mengekalkan rentak pantas yang diketuai Team Sky.
Bagi penyandang jersi putih baru, Hayakawa berkata dia sememangnya memasang sasaran pada peringkat ke Bukit Fraser itu dan hanya memberi tumpuan untuk berada bersama kelompok depan ketika pendakian terakhir.
“Saya berkayuh dengan selesa hari ini. Cukup gembira dan berharap kemenangan ini akan meningkatkan karier saya sebagai pelumba,” katanya yang berharap prestasi di Bukit Fraser itu akan meningkatkan kariernya sebagai pelumba profesional.
Peringkat terakhir LTdL 2015 dari Kuala Kubu Bharu ke Dataran Merdeka esok, membabitkan jarak sejauh 96.1, dengan zon pecutan di Serendah, zon pendakian di Selayang dan dua zon pecutan sebelum pecutan terakhir yang mengelilingi sirkit di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.