‘Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’ – pepatah ini sesuai menggambarkan pembabitan perejam Kuala Lumpur Thunder, Norhafizi Razak yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Razak Ahmad menceburi sukan tradisi ini.

Apit kanan berusia 24 tahun itu adalah anak kedua daripada tujuh beradik yang mana kesemuanya terbabit dengan sukan dunia sepak takraw namun hanya dia dan adik ketiga yang berjaya melangkah jauh ke peringkat kebangsaan.

“Dalam kalangan keluarga saya, hanya saya dan adik ketiga saya yang berjaya beraksi di peringkat tertinggi. Pembabitan kami di peringkat kebangsaan adalah sebagai pengubat buat ayah yang tidak dapat beraksi sehingga ke peringkat itu,” katanya.

Berbekalkan kelebihan kaki kidalnya, pemain yang mesra disapa Fizi itu mencetuskan gerun dalam kalangan lawan yang sukar membaca rejamannya selain kepelbagaian kaedah mematikan bola yang dimilikinya, sama ada secara libasan kencang atau tap di depan jaring.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memanfaatkan kelebihannya itu untuk membantu Kuala Lumpur Thunder melakar dua kemenangan pada aksi Sepaktakraw League (STL) Premier minggu lalu.

Setelah sedikit tenggelam pada minggu pembukaan, Fizi menyerlah menyumbang 15 mata ketika menewaskan bekas pasukannya Johor Tigris dan sebelum itu turut cemerlang dengan menyumbang 19 mata ketika menewaskan Selangor Pistons.

Prestasi cemerlang itu melayakkan Fizi berada dalam senarai lima killer terbaik STL Premier bagi minggu kedua. “Bagi saya kelebihan yang saya miliki adalah kaki kidal yang tidak mudah dibaca oleh pihak lawan.

“Perjalanan saya masih jauh sebagai pemain takraw, masih banyak yang saya perlu baiki untuk menjadi seperti idola saya, Pornchai Kaokew (Thailand) dan Zabidi Shariff,” katanya.

Pemain itu dijangka akan sekali lagi menjadi sandaran buat Kuala Lumpur Thunder yang merupakan finalis musim lalu untuk meneruskan kebangkitan mereka apabila saingan STL Premier kembali bersambung pada Jumaat ini

Mereka akan menentang dua pasukan pilihan iaitu Terengganu Turtles pada Sabtu, diikuti Penang Black Panthers pada Ahad.

 

Jadual aksi minggu ketiga :

13 Oktober (Jumaat) : Kelantan Warriors lwn Selangor Pistons (8 mlm), Johor Tigris lwn Perak Bison (9.30 mlm)

14 Oktober (Sabtu) : Penang Black Panthers lwn ATM Guardians (5 ptg), Terengganu Turtles lwn Kuala Lumpur Thunder (6 ptg), Johor Tigris lwn Kelantan Warrior (8 mlm)

15 Oktober (Ahad) : Kuala Lumpur Thunder lwn Penang Black Panthers (5 ptg), Perak Bison lwn Terengganu Turtles (6 ptg), Selangor Pistons lwn ATM Guardians (8 mlm)

- Advertisement -