Perenang meningkat naik, Tern Jian Han mencipta sensasi di Pusat Akuatik Gold Coast apabila meleburkan rekod kebangsaan berusia 16 tahun milik Alex Lim Keng Liat dalam acara 50m kuak lentang.
Perenang berusia 22 tahun itu merakam 25.60s untuk mengakhiri perlumbaan peringkat separuh akhir di tempat keenam sekaligus memadam catatan 25.67s yang dilakukan Keng Liat di Sukan Komanwel Manchester 2002.
Catatan itu juga dalam masa sama mengesahkan tempat di peringkat akhir kepada Jian Han setelah dia muncul perenang kelima terpantas, membolehkannya menjadi perenang kedua dari Malaysia untuk layak ke final di Gold Coast.
Sebelum ini, perenang olimpik negara Welson Sim turut berjaya melayakkan diri ke final dalam acara 400m gaya bebas pada Khamis namun sekadar mengakhiri perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan 3 minit 49.48s.
Sementara itu, Welson yang turun beraksi dalam acara 100m gaya bebas hari ini sekadar menamatkan saingan di tempat ke-27 dengan catatan masa kurang memberangsangkan 50.91s – beza 0.59s saat di belakang catatan masa terbaik peribadinya.
Dia juga gagal dalam usaha memperbaharui rekod dalam acara 200m gaya bebas pada Jumaat apabila sekadar melakukan 1 minit 47.36s.
“Saya kecewa kerana saya berlatih dan datang ke sini adalah kerana mahu pecahkan rekod kebangsaan milik saya (200m & 400m gaya bebas) tetapi saya tidak berenang sepantas yang saya sasarkan dalam kedua-dua acara. Ia agak sukar kerana saya penat, cukup penat tetapi saya bukannya mengeluh kerana untuk menjadi yang terbaik saya perlu lalui semua ini.
“Bagaimanapun Sukan Komanwel bukan sasaran utama saya, sasaran saya adalah Sukan Asia pada Ogos nanti dan berharap ketika itu saya sudah bertambah baik dan prestasi juga berada di kemuncak,” ujar atlet kelahiran Sarawak itu.
Welson dijadual beraksi dalam satu lagi acara iaitu 1,500m gaya bebas Isnin ini namun dia belum pasti akan mengambil bahagian atau tidak bergantung kepada kecergasan dan kondisi badannya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN