Malaysia menamatkan saingan renang berirama dengan memenangi pingat emas dalam acara duet rutin bebas di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Ahad (20 Ogos).
Pasangan Lee Yhing Huey dan Gan Hua Wei mempamerkan persembahan yang cukup bertenaga untuk mengumpul 76.3000 mata berbanding gandingan Miya Yong Hsing dan Debbie Soh Li Fei dari Singapura dengan 76.2333 mata.
Pingat gangsa dimenangi gandingan Indonesia, Anisa Feritrianti dan Claudia Megawati Suyanto yang memperolehi 71.4647 mata.
Setelah tiga hari dipertandingkan, saingan renang berirama berakhir dengan Malaysia meraih dua emas dan dua perak manakala Singapura mendapat dua pingat emas, satu pingat perak dan dua gangsa.
“Saya puas hati kerana kami memang layak mendapat emas. Tumpuan hanya untuk melakukan apa yang dipelajari ketika latihan,” kata Yhing Huey.
“Secara peribadi, saya telah melakukan yang terbaik dalam kesemua empat acara yang disertai. Saya tidak berasa kecewa,” kata perenang Singapura Debbie Soh.
Rakan Debbie, Miya Yong pula berkata mungkin ada sedikit kekecewaan bagi dirinya.