Kelibat Rico Zulkarnain, salah seorang pemain futsal terkemuka dunia yang menyarung jersi Kuantan Rangers akan dapat disaksikan buat pertama kali oleh peminat futsal tempatan apabila dia diturunkan pasukan elit dari Pahang itu dalam perlawanan persahabatan menentang skuad futsal kebangsaan, pada Jumaat.
Perlawanan itu adalah satu daripada aksi pemanas badan buat Kuantan Rangers sebelum mengharungi baki aksi Liga Futsal Brunei (LFB) 2017 hujung bulan ini.
Manakala pasukan kebangsaan bimbingan Chew Chun Yong sedang dalam persediaan untuk beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan sekaligus memberi peluang buat pengendali itu membuat penilaian prestasi pemainnya sebelum senarai akhir pemain KL2017 dimuktamadkan.
Untuk rekod, Rico yang juga penjaring terbanyak pasukan kebangsaan Wales ditandatangani Kuantan Rangers awal bulan ini setelah pemain berdarah kacukan Indonesia itu membuat keputusan meninggalkan kelab futsal paling berjaya di Indonesia, IPC Pelindo Jakarta.
Selain Wales dan Indonesia, pemain berusia 27 tahun itu yang digelar ‘Gareth Bale of Futsal’ dek kerana skil dan jaringan-jaringan memukau turut pernah mencipta nama dengan memenangi pelbagai koleksi kejuaraan di Australia serta Amerika Syarikat.
Ditanya sebab yang membuatkannya memilih menyarung jersi kelab dari Malaysia, Rico berkata, “Saya lihat Kuantan Rangers serius mahu membangunkan dan mengangkat futsal di Malaysia ke tahap lebih tinggi. Mereka mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial dan bekerja keras membuat kewujudan mereka diketahui.
“Mereka telah lama mengikuti perkembangan saya, menghubungi saya bertanyakan tentang peluang saya bermain dengan mereka. Rundingan telah berlaku, saya fikir ada sesuatu yang boleh saya bantu dan kongsi bersama sebelum kembali bermain di Australia jadi menerima tawaran mereka. Dalam tempoh dua bulan kontrak saya di sini, saya berharap dapat memberikan futsal di Malaysia satu nilai yang tinggi.”
Kuantan Rangers akan menyambung baki aksi LFB dengan menentang juara bertahan, Kota Junior pada 28 Julai ini, diikuti Shah United pada 29 Julai dan pasukan pembangunan futsal B-20 Brunei pada 30 Julai.
Ketika ini, Kuantan Rangers berada di tangga keenam dari 10 pasukan dengan tujuh mata setelah menang dua dan seri satu dari tiga perlawanan yang telah diharungi – pasukan bimbingan Faizul Abd Ghaffar itu masih mempunyai baki tiga perlawanan dalam tangan berbanding pencabar-pencabar lain. – OLEH MUHAMMAD AIMAN