Atlet pecut paralimpik, Mohd Ridzuan Puzi menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara 100m T36 (celebral palsy) di Kejohanan Olahraga Para Dunia, London pada Sabtu.
Meskipun gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Qatar, Ridzuan wajar diberikan pujian setelah dia melakar catatan masa terbaik peribadinya tahun ini, 12.15s untuk berkesudahan di belakang pemenang pingat emas dari China, Yang Yifei (11.93s – rekod Asia).
Keputusan itu juga menyaksikan Yifei membalas dendam kekalahan kepada Ridzuan di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro tahun lalu dan dipisahkan hanya 0.03 saat dengan rekod dunia T36 11.90s dipegang pelari Russia Evgenii Shvetsov.
Pingat gangsa menjadi milik Rodrigo Parreira Da Silva dari Brazil dengan catatan masa 12.28s.Ridzuan sebelum ini terlepas kedudukan podium dalam acara 200m setelah menduduki tempat keempat di saingan akhir.
Pingat perak dari Ridzuan itu adalah pingat ketiga buat Malaysia di Kejohanan Para Dunia setelah Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly menghadiahkan pingat emas masing-masing menerusi acara lontar peluru (rekod dunia) dan lompat jauh (rekod kejohanan).  – OLEH MUHAMMAD AIMAN