Pemain berpengalaman FIFA Malaysia, Rinie Ramli mahu menjadikan Kejohanan unifi eMFL Liga Super 2021 sebagai platform untuknya kembali mencipta nama selepas mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2013.
Rinie yang mula berkecimpung dalam dunia sukan elektronik FIFA ini pada tahun 2003 pernah meraih ranking keempat dunia pada tahun 2015 selain turut menjuarai beberapa kejohanan besar dalam tempoh 10 tahun bergelar pemain sebelum mengambil keputusan untuk bersara.
Kini, pemain berusia 34 tahun ini kembali bersaing selepas menyaksikan peningkatan secara menyeluruh pemain-pemain muda dalam arena e-sukan ini setiap tahun sekali gus terdetik untuk memulakan semula kariernya meskipun hadir selaku pemain paling veteran di kejohanan ini.
Sedar dengan saingan yang cukup hebat daripada pesaing-pesaing yang ada, Rinie tekad ingin memberi tentangan hebat dan enggan terlepas untuk turut sama mensasarkan kemenangan bagi kejohanan ini yang kali pertama disertainya.
“Saya percaya kejohanan eMFL ini antara kejohanan yang dinanti-nantikan oleh semua peminat termasuklah saya sendiri yang tidak terlepas untuk mengikuti kejohanan ini pada musim lalu.
“Salah satu sebab saya ingin kembali bersaing selepas bersara sebab saya nak sangat bertanding dengan pemain-pemain muda yang ada ini dan dapat lihat sejauh mana tahap kemampuan saya sekarang.
“Saya mula kembali sebagai pemain pada tahun lepas dan setahun saya cuba untuk belajar balik macam mana teknik permainan sekarang dan Alhamdulillah sekarang saya antara 12 terbaik yang layak untuk menyertai kejohanan eMFL ini.
“Dalam undian tadi, saya mewakili pasukan JDT (Johor Darul Ta’zim) dan semestinya kita tahu nama JDT ini bukan biasa-biasa dan apabila bersaing nanti, saya akan cuba untuk berada seiring dengan nama hebat JDT,” jelasnya.
Selain itu, juara eMFL musim lalu, Faiz Hariry atau Favlain yang kini mewakili pasukan Sabah FC pula menyifatkan persaingan pada musim ini dijangka akan lebih sengit berbanding musim lalu sekali gus tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mempertahankan gelaran.
Ini kerana, kehadiran tujuh pemain baharu yang lain dalam kejohanan ini menyaksikan perebutan kejuaraan pada musim ini tidak akan mudah dan kerja yang lebih keras perlu dilakukan.
“Cabaran pada tahun ini mesti lebih hebat sebab banyak pemain yang lebih hebat terutamanya pemain baharu di mana saya sendiri tahu tahap kemampuan mereka macam mana.
“Jadi, latihan perlu lebih keras untuk lawan mereka sebab saya rasa tahun lepas saya menang pun hanya kerana nasib sahaja dan saya akan tengok dulu perjalanan untuk kejohanan ini macam mana sebelum saya letak sasaran untuk menjadi juara sekali lagi,” katanya.
Dalam pada itu, unifi yang masih tampil sebagai penaja utama menjadikan kejohanan eMFL lebih berprestij apabila hadiah terkumpul bernilai RM50,000 menanti pemenang di mana nilai hadiah kejuaraan itu menjadi angka paling tinggi dalam sukan elektronik bagi permainan FIFA 21 di Malaysia.
Unifi eMFL Liga Super 2021 turut memperkenalkan format yang lebih kompetitif iaitu Liga eMFL dan Grand Final di mana hanya lapan pemain teratas Liga eMFL sahaja yang layak untuk bertanding dalam pusingan Grand Final.
Juara unifi eMFL Liga Super akan melayakkan diri ke East Asia Regional Cup yang dianjurkan oleh EA dan bakal beraksi di peringkat antarabangsa.