Pengendali skuad bawah 23 tahun kebangsaan Dato’ Ong Kim Swee telah menamakan 24 pemain untuk menjalani latihan pusat bermula 30 Julai depan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia di Indonesia bulan depan.
Kim Swee mengekalkan 17 pemain yang mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China pada Januari lalu termasuklah tonggak utama seperti Haziq Nadzli, Safawi Rasid, Nor Azam Azih, Mathew Davies dan juga penjaring gol kemenangan ketika menewaskan Arab Saudi, Daniel Amir Norhisham.
Enam pemain dari skuad itu tidak dipanggil dengan empat daripada mereka berada dalam senarai menunggu iaitu Adib Zainuddin, R.Kogileswaran, Akhyar Rashid dan Syahmi Safari manakala Shivan Pillay Asokan digugurkan bersama-sama Ahmad Syihan Hazmi yang menjalani penggantungan..
Empat pemain baru dipanggil iaitu Shafiq Ahmad (Johor Darul Takzim), Rodney Celvin (PKNS), Faisal Abdul Halim (Pahang) dan penjaga gol Khatul Anuar Abdul Jalil (Kuala Lumpur.
Kim Swee juga telah menyenaraikan dua pemain pertahanan serba agresif Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk bersama-sama Baddrol Baktiar yang telah disenaraikan lebih awal sebelum ini bagi mengisi kuota tiga pemain lebih umur dalam skuad tersebut.
“Senarai 24 pemain yang saya pilih ini adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam saingan Liga Super dan Liga Premier, serta penilaian ketika kem latihan skuad B-23 kebangsaan sebelum ini serta prestasi pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.
“Bagi kuota pemain lebih umur pula, saya melihat Baddrol sebagai seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan serta juga merupakan pemain yang berpengalaman. Begitu juga Shahrul yang berada dalam senarai menunggu,” kata Kim Swee.
Selepas melapor diri di Wisma FAM pada 30 Julai, skuad negara akan terbang ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu China B-23 pada 5 Ogos dan kembali ke tanah air pada 6 Ogos. Mereka akan kemudiannya menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos.
Pasukan dijadual terbang ke Indonesia pada 12 Ogos sebelum perlawanan pertama yang dijadual pada 14 Ogos. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Senarai pemain :
Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad (JDT); Hadi Fayyadh (JDT II); Baddrol Bakhtiar, Ifwat Akmal, Rizal Ghazali (Kedah); Mathew Davies, Nor Azam Azih, Faisal Halim (Pahang); Irfan Zakaria, Khatul Anuar, Syazwan Andik Ishak (KL); Jafri Firdaus Chew, Rodney Celvin (PKNS FC); Daniel Amir Norhisham (Felda); Nik Akif Syahiran (Kelantan); N.Thanabalan (NS); Syazwan Zaipol Bahari (Perak); Tommy Mawat Bada (PJ Rangers)