Oleh Muhammad Aiman
Status sebagai pemain berprofil tinggi bukan jaminan buat bekas pemain pertahanan Selangor, Rizal Fahmi Rosid untuk merebut tempat di dalam pasukan pendatang baru Liga Super, Melaka United.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Ahmad Yusof Mahadi berkata skuad juara Liga Premier 2016 itu sudahpun mempunyai jumlah pemain yang cukup justeru tiada keperluan untuk mencari pemain tambahan.
Namun menurutnya, MUSA tiada masalah untuk menandatangani Rizal Fahmi yang sedang menjalani latihan ujian (trial) bersama pasukan bimbingan Eric Williams itu andai dia dapat membuktikan betapa dia lebih baik dari pemain yang sudah sedia dimilliki juara Liga Premier itu.
“Sebenarnya persiapan Melaka sudah masuk peringkat akhir. Kita sudah mempunyai pemain mencukupi tetapi akhir-akhir ini didatangi beberapa pemain ‘berjenama’. Melaka pada asalnya tidak berminat dengan pemain sedemikian kerana mereka datang dengan harga tinggi, tetapi oleh sebab ada penaja sudi membayar (sepertimana Amri Yahyah) maka kita tukar pendekatan.
“Sekarang kita sudah ada 28 pemain, masih ada dua kekosongan tapi kalau diikutkan jumlah tu dah penuhlah kan. Apapun kita bersedia ubah perancangan, masih buka pintu kepada beberapa pemain ‘berjenama’ jika ada penaja bersetuju bawa mereka datang.
“Cuma bila dah sampai tahap ini, kita mahukan yang betul-betul berkemampuan sahaja. Jadi sebab tu saya bagi Rizal peluang untuk datang, buktikan pada jurulatih bahawa dia lebih bagus dari apa yang sudah sedia kami ada dan lepas itu baru kita tandatangani dia,” jelas Yusof.
Yusoff berkata seandainya berlaku lebihan pemain, itu tidak menjadi masalah kerana ada di antara pemain boleh diturunkan ke skuad Piala Presiden ataupun diberi pinjam kepada pasukan lain.
Setakat ini, Melaka antara pasukan paling aktif memburu pemain-pemain baru berkualiti bagi menghadapi musim baru.
Selain Amri, beberapa pemain lain yang akan menyarung jersi mereka adalah Izzaq Faris Ramlan, Fauzi Roslan, Akmal Ishak, Faizal Muhammad, Tam Sheang Tsung dan Khairul Azrin.
Mengenai kebergantungan kepada pemain luar berbanding memberi peluang kepada anak jati negeri itu, Yusoff berkata, “Saya rasa dalam hal ini kita tidak perlu menjadi terlalu Melaka, kerana kita sudah lama tidak main di Liga Super dan keputusan yang baik adalah penting.
“Kalau pentingkan anak jati, tapi keputusan tak ke mana, turun semula ke Liga Premier pun tetap kena bantai. Melaka pasukan yang cari pencapaian, lagipun kita tiada program pembangunan. Jadi orang ramai tiada asas nak marah jika tiada anak jati Melaka dalam pasukan. Dah lama tiada program pembangunan macam mana nak hasilkan pemain yang bagus.”
Untuk rekod, Melaka kembali ke saingan Liga Super buat pertama kali selepas sembilan tahun setelah menjuarai Liga Premier 2016 di bawah bimbingan Mat Zan Mat Aris. Mereka sebelum itu beraksi dalam saingan Liga FAM selama enam musim.