Oleh Ku Mohd Lufti
Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 016 cukup bermakna buat Malaysia apabila penantian untuk meraih emas pertama ditamatkan oleh dua atlet Mohamad Rizuan Mohamad Puzi dan Muhd Ziyad Zolkefli awal pagi tadi.
Emas pertama hadir menerusi acara pecut 100 Meter akhir T36 lelaki apabila Mohamad Rizuan melakukan henjutan di 10 meter terakhir, menafikan pelari China, Yang Yifei untuk muncul juara dengan catatan 12.07 saat.
Catatan yang dilakukan oleh Rizuan sekaligus memperbaharui rekod paralimpik yang dipegang atlet Ukrain, Roman Pavlyk yang melakukan 12.25 saat ketika di Beijing 2008.
Pingat gangsa pula milik atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira de Silva yang melakar 12.54 saat.
Lagu negaraku berkumandang di bumi Rio buat kali kedua selepas kejayaan Rizuan apabila Muhd Ziyad Zolkefli meraih emas kedua untuk Malaysia.
Ziyad yang beraksi dalam acara lontar peluru F 20 lelaki merupakan pemenang pingat gangsa ketika di sukan Paralimpik London 2012, melakukan lontaran pertamanya, sejauh 16.40 meter sebelum menutup acata ini dengan lontaran sejauh 16.84 meter.
Catatan itu jelas sukar dicabar atlet lain, sekaligus mengesahkan emas untuk Malaysia, malah atlet berusia 26 tahun ini turut memperbaharui rekod dunia yang dipegang atlet paralimpik kelahiran Australia, Tott Hodgetts, 16.29 meter ketika di sukan Paralimpik London.
Pingat perak milik Dimitros Senikidis dari Greece yang mencatat 16.17 meter manakala pemenang pingat emas di London 2012, Hodgetts sekadar meraih gangsa dengan jarak lontaran 15.82 meter.