khairy

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan RM152 juta kepada tuan rumah Sukan Malaysia 2018, Perak.

Peruntukan itu bertujuan untuk pembangunan semula dan membaik pulih beberapa prasarana sukan di negeri itu.

“Tapi peruntukan (RM152 juta) itu tidak termasuk Velodrom Rakyat Ipoh yang akan dibaik pulih sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.” Kata Khairy.

Beliau terdahlu merasmikan program Fit Malaysia di Perak, disertai kira-kira 12,000 orang yang melibatkan acara larian dan berbasikal.

Ketika ditanya mengenai penjagaan serta pengurusan velodrom itu selepas penganjuran Sukma 2018, Khairy berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Malah, Khairy turut melontarkan cabaran kepada Perak supaya bukan sahaja menjadi tuan rumah Sukma yang terhebat, malah mampu muncul juara.

“Saya harap Perak tetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk muncul juara Sukma 2018,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan itu akan diguna untuk membaik pulih beberapa kemudahan termasuk stadium dan padang tembak selain membina kolam renang baharu di Ipoh.

Ditanya mengenai kebimbangan prasarana tersebut akan terbiar, Zambry berkata kerajaan negeri akan memastikan ia dijaga dengan baik memandangkan kemudahan yang dibina dan dibaik pulih itu digunakan oleh orang awam sepanjang masa.

- Advertisement -