Presiden Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjanjikan habuan sebanyak RM 30 000 kepada skuad Harimau Malaya andai berjaya melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019.
Pengumuman itu dilakukan sendiri oleh Tunku Ismail yang mengadakan sidang video bersama pemain dan ketua jurulatih, Nelo Vingada, dari Johor dan perbualan tersebut dimuat naik dalam laman Facebook rasmi FAM.
Jelas Tunku Ismail, kemenangan ke atas Hong Kong sekaligus menepis kritikan terhadap skuad kendalian Vingada.
“Mata manusia tidak pernah menipu, kalau seluruh rakyat negara ini termasuk saya nampak anda semua memberi 110 peratus, kalah atau menang pun kita puas hati.
“Kalau menang perlawanan ini, saya bagi bonus RM30,000. Seluruh rakyat Malaysia di belakang anda dan mendoakan kejayaan anda,” katanya.
Kemenangan ke atas Hong Kong bakal menghidupkan kembali peluang skuad bolasepak kebangsaan untuk melayakan diri ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Untuk rekod, Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan B dengan satu mata diraih selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Sept lalu, dan tewas 1-2 di tangan Lubnan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan pada 13 Jun.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menegaskan kepada semua pemain untuk tidak menghiraukan kritikan daripada pihak yang tiada kaitan dalam arena bola sepak.
“Pertama sekali, ambil benda ini sebagai satu peluang untuk kita jawab balik setiap kritikan. Apa paling mustahak adalah anda semua berikan yang terbaik, saya tidak kisah apa orang lain nak cakap, saya sentiasa berada di belakang anda,” katanya.