Seperti dijangka, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bakal dikosongkan oleh Dato’ Seri Subahan Kamal akan diambil alih oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu disahkan oleh Subahan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAS sebentar tadi, dengan peralihan kuasa dijangka berlaku pada 3 Julai depan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa.
Subahan turut menjelaskan peralihan hanya akan membabitkan jawatan presiden sahaja.
Sehingga tarikh yang telah ditetapkan itu, Subahan akan kekal sebagai presiden FAS dan beliau memberi jaminan segala tunggakan bonus dan kelewatan pembayaran gaji sejak tiga minggu lalu akan diselesaikan segera sebelum berundur.
“Sebelum saya pergi, saya akan selesaikan semua pembayaran yang masih tertunggak sekiranya ada. Yang belum selesai akan disegerakan. Saya akan pergi dengan cara yang betul kerana saya seorang yang bertanggungjawab,” kata Subahan yang menduduki kerusi presiden FAS sejak Februari 2017.
Sementara itu, kumpulan penyokong tegar Red Giants menyambut baik peralihan kuasa ini dan tidak sabar untuk menantikan pembaharuan yang akan dibuat oleh RMS di dalam memulihkan semula imej bolasepak Selangor yang merudum sejak beberapa musim lalu.
RMS sebelum ini pernah menggariskan tujuh langkah yang akan diambil jika menjadi presiden FAS sebagai usaha rombakan drastik demi mewujudkan barisan pengurusan cekap dengan meletakkan pembangunan bola sepak sebagai keutamaan persatuan itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN