Selepas tujuh tahun, dua bekas pelumba Europcar, Pierre Rolland dan Cyril Gautier kembali mewarnai saingan Petronas-Le Tour de Langkawi 2020 bersama pasukan profesional benua baru , B&B Hotels-Vital Concept.

Dengan karier penuh berwarna-warni termasuk berkayuh dalam perlumbaan Grand Tour terbesar, Tour de France (TdF), kedua-dua pelumba veteran ini dijangka akan menjadi tumpuan untuk menguasai pendakian sukar Peringkat 4 ke puncak Genting Highlands, apabila LTdL membuka tirainya dengan majlis pengenalan pasukan di Kota Kinabalu, 5 Februari ini.

Ketika tampil bersama Europcar pada 2013, Rolland sekadar menamatkan saingan di tangga ke-20 keseluruhan manakala Gautier gagal menamatkan perlumbaan, tatkala pasukan itu lebih memberi tumpuan terhadap pakar pecut mereka, Bryan Coquard yang menang dua peringkat di Tanah Merah dan Kuala Berang.

Namun kedua-dua pelumba ini pasti mahu lebih menyerlah pada LTdL edisi ke-25 ini, berbekal pengalaman luas mereka berkayuh dalam pelbagai perlumbaan sebelum ini, demi mengangkat nama B&B yang ditubuhkan pada 2017 dan menduduki ranking ke-26 dunia tahun lalu.

Walaupun dianggap awal musim, Rolland dan Gautier pasti masih mengingati cabaran getir yang perlu dihadapi apabila berkayuh di bawah cuaca panas terik di Malaysia dan mereka dijangka tampil dengan lebih bersedia kali ini.

Rolland, pelumba kelahiran Gien yang kini berusia 33 tahun, adalah bekas pelumba pasukan Credit Agricole, Bbox-Bouygues Telecom, Europcar dan Cannondale sebelum menyertai B&B tahun lalu, dianggap antara pelumba terbaik pernah dilahirkan Perancis.

Dia dinobatkan Pelumba Muda Terbaik TdF 2011, tahun yang sama di mana dia memenangi peringkat dalam jelajah terbesar dunia itu pada Peringkat 19 di pergunungan Alpe d’Huez, seterusnya menduduki tangga ke-10 keseluruhan.

Rolland mengulangi aksi cemerlangnya pada tahun 2012 di TdF di mana walaupun mengalami kemalangan pada Peringkat 6, dia bersama tiga pelumba lain melakukan breakaway pada Peringkat 11. Ketika menuruni bukit di Col du Mollard, dia terjatuh tetapi meneruskan kayuhan dan meloloskan diri ketika pendakian terakhir di La Toussuire untuk menamatkan kayuhan secara solo, sekaligus menamatkan kayuhan keseluruhan di tangga kelapan.

Rolland tampil lebih garang pada edisi 2013, dengan menyarung jersi polka dot Raja Bukit buat kali pertama seawal Peringkat 2 hingga Peringkat 7, dan merampasnya kembali pada Peringkat 9. Namun dia terlepas jersi itu pada Peringkat 15 apabila Chris Froome menewaskannya dalam pendakian ke Mont Ventoux.

Dengan 10 kali keseluruhan penyertaan di TdF, dua kali di Giro d’Italia dan empat kali di Vuelta a’Espana, Rolland dianggap pelumba paling berpengalaman apabila semua 22 pasukan berbaris di garisan permulaan Petronas-LTdL 2020 pada Peringkat 1 di Bandar Kuching, 7 Februari ini.

Berada di sisinya dan dijangka menjadi watak pembantu ketika mendaki ke Genting nanti ialah Gautier, seorang lagi pelumba berpengalaman luas sepanjang kariernya bersa Bboc-Bouygues Telecom dan Europcar pada 2009-2015, dan AG2R (2016-2018) di mana dia sering membantu pelumba utama Romain Bardet.

Dengan corak kayuhan agresif, Gautier juga beraksi di LTdL 2013 tetapi gagal menamatkan kayuhan. Namun rekod menyertai TdF sebanyak lapan kali dengan kedudukan peribadi terbaik d tangga ke-25 keseluruhan pada 2014,  pelumba berusia 32 tahun kelahiran Plouagat ini dianggap masih berada dalam prestasi terbaik kerana memenangi jersi Raja Bukit Tour de Haut Var pada tahun lalu.

B&B Hotels turut menyenaraikan pelumba kedua terbaik dari segi pungutan mata pasukan itu, Quentin Pacher, 28, dalam penyertaan kali pertama pasukan itu di LTdL tahun ini, sekaligus memantapkan barisan pelumba pasukan itu untuk mengejar jersi kuning LTdL, dan kemenangan peringkat.

Selain mampu memecut, pelumba kelahiran Libourne ini juga mampu mendaki dengan baik, dan memanaskan badan dengan menyertai Grand Prix Cycliste la Marseillaise sebelum terbang ke Kota Kinabalu untuk majlis Pengenalan Pasukan, 5 Februari ini.

Tiga pelumba lain yang melengkapkan senarai enam pelumba B&B Hotels yang diketuai pengurus pasukan, Gilles Pauchard ini adalah Johan Le Bon, 28 tahun; Jeremy Lecroq, 24; dan Justin Mottier, 26.

Le Bon yang pernah mewakili pasukan Pro Tour Francaise des Jeux pada 2015 hingga 2017, serta Mottier dijangka akan berperanan sebagai pembantu untuk membawa pakar pecut Lecroq ke kelompok depan di penamat laluan landai pada LTdL 2020 ini.

PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari, sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.                                                                                                                                   

Sempena ulang tahunnya yang ke-25, penganjur Human Voyage Sdn Bhd  akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

- Advertisement -