Tenggelam timbul dengan 1001 alasan, badan induk badminton Malaysia (BAM) mencari alternatif lain untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadap sukan badminton di Malaysia bahawa negara ini masih belum ketandusan idea untuk merancang.

Keputusan membawa balik individu yang menjadi watak penting dalam membawa jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang menamatkan penantian pingat ketika di Sukan Olimpik Beijing 2008, Datuk Misbun Sidek sebagai langkah terbaik.

Malah, rombakan sistem kejurulatihan yang dilakukan oleh BAM memberi bayangan, persatuan sedang mencari pendekatan baru.

Ia susulan kegagalan skuad Piala Sudirman negara baru baru ini yang jelas memberi tamparan hebat kepada BAM.

Namun, sejauh mana perubahan ini benar benar berhasil?

Memetik kembali kata kata bekas pemain, Ong Ewe Hock, perubahan perlu dilakukan secara besar besaran jika mahukan khidmat bekas pemain pemain negara untuk melatih pemain dibawah naungan BAM.

Perubahan yang dimaksudkan adakah ‘membersihkan’ kesemua barisan kejurulatihan atau mengubah tugasan dan tanggungjawab jurulatih sedia ada, hanya Ewe Hock yang lebih memahami.

Fokus dan hala tuju ‘tergesa gesa’ BAM masih lagi sama, terburu buru untuk megecap kejayaan dalam tempoh yang singkat.

Isu rombakan pernah dibangkitkan pada 2010 dimana Timbalan Presiden BAM ketika itu, Tengku Kamil Tengku Idris Shah menyatakan persatuan tidak mahu lagi bergantung kepada pemain pemain yang menghampiri usia persaraan.

Ibarat masuk kiri, keluar kanan, senario ini kembali semula pada 2017, kebanyakkan jurulatih hanya memberi fokus dan perancangan untuk memburu Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos, Piala Thomas (2018) dan Olimpik di Jepun pada 2020.

Buat Datuk Lee Chong Wei, segalanya dilandasan yang tepat, tetapi bagaimana dengan pemain pemain yang tidak konsisten?

Dimana program tumpuan atau perancangan jangka panjang untuk skuad pelapis?

Malaysia perlu menerima hakikat, bakat bakat muda yang boleh diketengahkan untuk diserap dan digilap terlalu kecil berbanding kuasa kuasa besar badminton dunia khususnya China.

Namun perancangan yang cukup teliti melibatkan semua pihak samada di dalam atau diluar BAM adalah perlu ketika ini untuk mengukuhkan lagi perancangan buat pemain pelapis.

Kelab kelab badminton diseluruh Malaysia diharapkan tidak dilupakan kerana mereka juga menjadi salah satu tunjang dalam mencari baka bakat muda.

Sedia maklum negara negara lain juga sentiasa memerhatikan diantara satu dengan lain untuk mencari kekuatan dan kelemahan.

Pastinya kesemua pemain mahukan peluang untuk beraksi di arena antarabangsa, namun, sekadar omong kosong tanpa usaha keras, ia hanya impian semata mata.

Jurulatih juga turut meluahkan kegusaran berhubung sikap yang ditonjolkan oleh pemain pemain khususnya ketika sesi latihan.

Displin yang lemah sebelum, ketika dan selepas sesi latihan dikalangan pemain antara kekecewaan yang pernah diluahkan oleh salah seorang jurulatih badminton.

Sebagai pemain professional, ia jelas bukan sikap yang menggambarkan mereka mempunyai kredibiliti sebagai seorang atlet yang mahukan kejayaan.

Hakikatnya, kesemua barisan kejurulatihan dan kesemua pemain perlu duduk semeja untuk mencari lompang kekosongan yang ada andai mengidamkan perubahan yang lebih positif.

Tumpukan terhadap pembangunan di aras yang lebih tinggi ketika ini dan pada masa yang sama, sasaran untuk menjulang kejuaraan tidak harus dipinggirkan.

Perubahan memang memerlukan masa, tetapi ia akan menjadi singkat andai prosedur, perancangan dan program yang diatur efektif dan sistematik.

Penuhi impian Datuk Lee Chong Wei untuk melihat jaguh seumpamanya sebelum beliau menggantung raket secara rasmi.

Tugas bukan terletak di bahu Datuk Misbun atau mana mana jurulatih, tetapi semua pihak perlu menggandakan usaha mereka untuk merealisasikan matlamat ini. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -