Malaysia menamatkan kempen Piala Asia saingan peringkat kumpulan dengan satu mata selepas mengikat gergasi Asia, Korea Selatan tiga sama dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Al Janoub.
Babak pertama Malaysia ketinggalan 0-1 menerusi tandukkan yang disempurnakan Jeong Woo Yeong. Tandukan ini bagaimanapun berjaya diselamatkan Syihan Hazmi namun bola sudahpun melepasi garisan.
Cerita yang cukup berbeza dipamerkan anak didik Kim Pan Gon yang mahu mencari sesuatu sebelum pulang ke tanah air.
Faisal Halim menggamitkan kembali laungan Harimau Malaya apabila menyamakan kedudukan 1-1 di minit 51 sebelum giliran Ariff Aiman Hanapi meletakan Malaysia didepan 2-1 hasil sepakan penalti di minit 62.
Asakan bertali arus Korea Selatan sekali lagi menekan barisan pertahanan negara dan ia nyata membawa padah apabila Lee Kang In menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma bertaraf dunia yang sekali lagi gagal ditampan kemas Syihan Hazmi.
Pemain gantian Junior Estdal ‘memberikan’ penalti kepada Korea Selatan dan peluang terhidang nyata tidak disia siakan Son Heung Min untuk kembali meletakkan Taeguk Warriors kembali didepan 3-2 namun Romel Morales yang dimasukkan dipenghujung perlawanan mengubah kedudukan apabila meledak gol penyamaan untuk memastikan 1 mata yang sangat diidam idamkan oleh Kim Pan Gon.
Lebih 270 minit bertarung dengan emosi yang tidak menentu, ditekan dan diasak dengan pelbagai kritikan, Malaysia menutup kempen peringkat kumpulan dengan 3 gol berjaya dihasilkan dan bolos lapan gol.