Bermula dari seorang pemain tengah, Romel Morales, sama sekali tidak menyangka pilihannya ke Kuala Lumpur City FC (KL City) musim ini telah memberikan impak berbeza dalam kariernya apabila dia kini bergelar seorang penyerang.
Segala-galanya bermula ekoran kecederaan jangka panjang yang dialami Dominique da Slyva sebelum penggantinya, Kyrian Nwabueze juga terpaksa diketepikan menjadikan pemain import dari Colombia itu selaku penyerang ‘bidan terjun’ oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Namun, pemain berusia 24 tahun itu berjaya membalas kepercayaan diberikan terutama di kejohanan TM Piala Malaysia apabila bergelar pendahulu penjaring terbanyak dengan lima gol selain lima lagi jaringan dihasilkan pada saingan Liga Super.
Menjelaskan peralihan posisinya, Morales akui sangat terkejut apabila diminta pertama kali oleh Hodak bermain selaku penyerang kerana sepanjang bermain selaku pemain profesional, dia tidak pernah bermain di posisi berkenaan.
“ Saya ingat lagi semasa pertama kali jurulatih (Hodak) ada beritahu untuk bermain sebagai penyerang, saya memang terkejut kerana tidak terfikir akan bermain di posisi berkenaan.
“ Kali terakhir saya bermain penyerang ialah semasa di peringkat sekolah dahulu dan untuk karier selaku pemain profesional, saya hanya bermain di bahagian tengah.
“ Bagaimanapun saya anggap ini sebagai satu ruang untuk belajar serta mencari pengalaman baharu bersama pasukan dan saya gembira dengan sumbangan yang telah diberikan kepada KL City apabila berjaya menjaringkan banyak gol selain bantuan jaringan.
“ Saya rasakan prestasi telah meningkat dari perlawanan ke tiap perlawanan serta semakin memahami apa yang diperlukan selaku penyerang dan buktinya boleh dilihat berdasarkan keputusan yang diraih bersama pasukan, ” katanya.
Selain posisi penyerang, Hodak juga sering kali meletakkan Morales di bahagian sayap kanan selain pemain tengah menyerang.
Morales mula beraksi di Liga Malaysia pada musim 2018 bersama PKNS FC semasa berumur 21 tahun dan Melaka United pada musim 2020 sebelum ke KL City.
Menjelang pertemuan dengan Sarawak United pada aksi keempat Kumpulan A TM Piala Malaysia 2021 di Stadium UiTM, Morales tidak mahu mereka terbuai-buai kejayaan selesa 4-0 pada pertemuan terakhir, 30 Oktober lalu.
Dia berasakan Sarawak pasti mahu bangkit tambahan bermain di tempat sendiri bagi mengekalkan peluang mereka mencari slot ke suku akhir TM Piala Malaysia.
“ Pasukan sekarang berada dalam prestasi terbaik malah kami semakin berkeyakinan untuk hadapi perlawanan yang akan mendatang.
“ Kami sedar Sarawak pasti mahu menebus kekalahan yang dialami tempoh hari namun saya rasa pasukan hanya perlu kekalkan cara bermain seperti mana dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, ” katanya.