BALINGAN jauh Ronny Harun sekali lagi menjadi pemusnah pasukan lawan apabila gerakan ‘trademark’nya itu menjulang Sarawak menundukkan PKNS FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
Dua gol yang hampir seiras pada babak pertama sudah cukup untuk membolehkan skuad Bujang Senang mengutip tiga mata kedua berturut-turut liga menyusuli kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sime Darby pada 28 Januari lalu.
Balingan ala bekas bintang Stoke City Rory Delap yang digunakan Ronny sememangnya tidak boleh dipandang remeh lagi oleh pasukan lawan pada pertembungan akan datang jika tidak ingin menjadi mangsa senjata ‘set-piece’ sebagaimana terjadi kepada PKNS.
Gol pembukaan ditolak masuk pemain import Serbia Milorad Janjus pada minit kesembilan apabila penyerang tinggi lampai itu bijak memanfaatkan keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol tuan rumah yang berpunca daripada balingan Ronny.
Dan Sarawak, yang bagaikan bermain di tempat sendiri dengan berlatarbelakangkan sorakan hampir 3,000 penyokongnya yang bertandang ke Selayang, tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan itu kali ini melalui tandukan bekas bek tengah Portsmouth, Cardiff dan Wolverhampton Gabor Gyepes pada minit ke-16 dalam keadaan yang serupa gol pertama.
Kelab senegeri PKNS, Selangor turut menerima nasib seumpama gara-gara dikelirukan balingan Ronny yang membawa kepada jaringan kemenangan Zamri Morshidi lalu tersingkir pada aksi pusingan kedua Piala FA tiga hari lalu.
Rangkaian serangan PKNS yang dikemudi Patrick Ronaldinho Wleh dan Karlo Primorac mempunyai beberapa peluang terbaik, khususnya pada separuh masa kedua tetapi buntu mendapatkan jaringan yang diingini.
Kekalahan yang dialami skuad bimbingan Wan Jamak Hassan itu sekaligus meleburkan rekod cemerlang mereka yang mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga aksi terakhirnya.
Liga Super
PKNS 0 Sarawak 2
Pahang 3 JDT (I) 2
Liga Perdana
Negri Sembilan 2 Felda 1
JDT (II) 1 Perlis 0
Pulau Pinang 1 UiTM 0
DRB-HICOM 0 SPA 1
PDRM 1 Sabah 0.