Jaguh MotoGP, Valentino Rossi memberi bayangan masih belum mahu menamatkan kariernya dan masih bermotivasi untuk meneruskan saingan dalam MotoGP.

Jelas pelumba kelahiran Itali itu, beliau tidak mahu menjadikan musim 2021 sebagai ‘detik perpisahan’.

Sepanjang tempoh perintah berkurung, Rossi ketika ditemuramah media antarabangsa dengan nada bergurau tidak menolak untuk mengucapkan selamat tinggal dikala peminat setianya tidak berada di litar.

Rossi juga memberi bayangan akan beraksi bersama pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT dan beliau akan menerima kelengkapan seperti yang diterima oleh Fabio Quartararo.

Awal tahun, Valentino Rossi memutuskan untuk tidak lagi bersama pasukan Monster Energy Yamaha dan akan memutuskan hala tujunya dalam MotoGP, namun ia tertengguh seketika susulan penularan Covid 19 yang menyaksikan saingan MotoGP musim 2020 ditangguhkan.

Rossi juga bersetuju dengan kenyataan prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali yang meletakkan KPI kepada pelumba berusia 41 tahun itu.

Jelas The Doctor, beliau tidak mahu melangkah masuk ke pasukan barunya dengan kiasan pasukan terakhir seperti yang dinyatakan di media massa.

Beliau akan memastikan podium menjadi sasaran di setiap perlumbaan sekaligus membuktikan beliau masih kompetitif.

Rossi akan membuat keputusan muktamad tentang masa depannya minggu depan sekaligus menutup spekulasi melibatkan dirinya.

 

 

- Advertisement -