Dua jaringan pemain import Selangor, Rufino Segora del Burgo memastikan tuan rumah, Kuala Lumpur berputih mata dilaman sendiri selepas tumpas 0-2.

Aksi sulung kedua dua pasukan dalam saingan Liga Super 2018 berlangsung di Stadium Kuala Lumpur yang kembali dibuka selepas menjalani proses naik taraf.

Kelebihan beraksi di laman sendiri bagaimanapun gagal dimanfaatkan Kuala Lumpur apabila sering kali diasak barisan serangan The Red Giants.

Penyokong tuan rumah terdiam seketika apabila hantaran silang Azamuddin Mohd Akil ditanduk kemas Rufino pada minit ke 16 untuk meletakkan Selangor mendahului 1-0.

Jaringan tersebut ternyata menyuntik semangat juang pemain pemain skuad kendalian P Maniam untuk terus melebarkan kedudukan.

Kuala Lumpur hanya menampakkan keserasian selepas 30 minit perlawanan menerusi percubaan Paolo Josue Sturmer Do Reis, dan Guilherme de Paula.

Ketinggalan satu gol selepas tamat 45 minit pertama tampak tidak meresahkan anak didik Fabio Maciel Da Silva yang mempamer aksi lebih kemas di babak kedua.

The City Boys hampir menyamakan kedudukan di minit ke 63 namun rembatan deras Paolo Josue sekadar menggegar tiang gol Selangor manakala percubaan Muhammad Syazwan Andik tersasar.

Selangor yang dibarisi pemain pemain muda terus mencari peluang untuk menambah jaringan dan penantian itu ternyata berbaloi apabila jarigan kedua terhasil di masa tambahan selepas tamat masa sebenar.

Gerakan Amri Yahya gagal dikekang pertahanan Kuala Lumpur yang melakukan kesilapan sekaligus membuka peluang kepada Runfino untuk melepaskan rembatan jarak dekat, menewaskan Kamarul Effandi untuk kali kedua.

Kemenangan ini meletakkan Selangor di tangga teratas, berkongsi 3 mata dengan juara Piala Sumbangsih, Johor Darul Takzim (JDT), Melaka United dan PKNS FC yang turut melakar kemenangan ke atas lawan masing masing semalam. OLEH KU MOHD LUFTI 

 

 

- Advertisement -