Oleh Ku Mohd Lufti
Cabaran jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi sampai ke pertengahan babak sebelum pendakian getir ke Tanah Rata Cameron bakal memberi bayangan siapakah pemilik mutlak empat jersi yang dipertandingkan.
Peringkat ketiga hari ini dari Serdang ke Pantai Remis menyaksikan pertarungan sengit pakar pakar pecut 19 pasukan yang mengambil bahagian.
Perlumbaan sejauh 118 Kilometer ini nyata berlangsung dengan kelajuan yang pantas menyaksikan dua pelumba, Loh Sea Keong yang beraksi untuk pasukan Thailand Continental Cycling dan Stepan Astafyev daripada Vino Astana Motors yang mengetuai perlumbaan peringkat ketiga.
Peloton yang dipimpin pasukan Dimension Data tampak tidak mahu mengejar kelompok pendahulu sehinggalah tiga kilometer terakhir perlumbaan.
Kerancakkan saingan di tiga kilometer terakhir bermula apabila dua pendahulu ini bergabung dengan peloton yang semakin meningkatkan kelajuan dan setiap pasukan mula meletakkan pakar pakar pecut untuk mencari ruang terbaik bagi memecut ke garisan penamat.
Antara yang berada dalam kelompok tersebut tiga pelumba Terengganu Cycling (TSG) Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Shahrul Mat Amin.
Peringkat ketiga menjadi milik Jakub Mareczko daripada Wilier Triestina yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 48 minit 58 saat.
Pemilik jersi Raja Pecut Scott Sunderland ditempat kedua manakala Zamri Salleh melengkapkan podium sekaligus memberikan kemenangan sulung buat TSG.
Selepas tamat tiga peringkat perlumbaan, tiada perubahan pemilik jersi dimana Ryan Gibbons terus mengekalkan status selaku pendahulu apabila mengekalkan jersi kuning.
Begitu juga dengan Sunderland yang terus menyarung jersi teale selaku Raja Pecut dengan 27 mata, masih belum selesa kerana dua pelumba, Travis McCabe (United Healthcare) dan Ryan Gibbons mengekori rapat dengan hanya perbezaan satu mata.
Jersi putih selaku pelumba terbaik Asia juga kekal milik Yevgeniy Gidich daripada Vino Astana Motors dengan masa terkumpul, 10 jam 48 minit 22 saat, 4 saat didepan empat pelumba termasuk dua rakan sepasukannya, Sergey Vlasenko dan Dmitry Lukyanov, Hideto Nakane (Nippo Vini Fantini), dan Tomohiro Hayakawa (Aisan Racing).