Bekalan satu gol yang dibawa dari Stadium Negeri pada suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 masih belum mencukupi buat Sabah FC jika berhasrat mahu mencipta kembali sejarah layak ke separuh akhir, empat tahun lalu.
Pemain tengah Sabah, Irfan Fazail, masih menghormati Kuching City FC yang berjaya hadirkan tentangan sengit sambil menyifatkan peluang buat kedua-dua pasukan masih seimbang untuk layak ke peringkat seterusnya.
Namun, pemain berusia 31 tahun berkenaan mengharapkan kelebihan bermain di laman sendiri sambil dibantu sokongan padu para penyokong akan menjadi pemangkin semangat Sabah dalam usaha menangani tentangan hebat Kuching City.
“Masa lawan Kuching itu, saya dapat rasakan situasi masih lagi 50-50 bagi perlawanan kedua nanti tetapi apabila bermain di laman sendiri, saya harap semangat pemain-pemain Sabah akan lebih baik.
” Kita berhasrat mahu kekalkan kelebihan jaringan yang dimenangi tempoh hari dalam usaha melayakkan diri ke separuh akhir.
” Kehadiran penyokong ke stadium akan menaikkan moral semua pemain kerana tahun ini, penyokong-penyokong Sabah sentiasa berikan komitmen luar biasa sama ada kami menang atau kalah.
” Jadi, kami akan cuba untuk mara sejauh yang mungkin serta membawa Sabah ke peringkat yang lebih tinggi demi penyokong serta berada di tahap fokus terbaik ketika berdepan Kuching,” katanya.
Pada suku akhir pertama yang berlangsung 5 November lalu, jaringan daripada Baddrol Bakhtiar pada minit 69 memisahkan kedua-dua pasukan selepas pantas menerpa bola muntah dari penjaga gol, Shaiful Wazizi, hasil cubaan awal Farhan Roslan.
Irfan semakin mendapat perhatian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, apabila kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama pada beberapa perlawanan muktahir ini.
Situasi itu sememangnya melegakan buat bekas pemain Harimau Muda itu setelah mengharungi pelbagai isu kecederaan dalam kariernya terutama kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament).
” Bila saya datang ke Sabah, keyakinan saya sangat bertambah kerana kembali bekerja dengan Datuk Ong malah dia turut membawa pasukan kejurulatihan sendiri.
” Fisioterapi dalam pasukan ini juga banyak membantu apabila saya ada alami kecederaan, mereka banyak membantu yang secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada saya.
” Saya telah bermain 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir dan ketiadaan pemain-pemain utama seperti Gary Steven Robbat membuka ruang untuk saya membuktikan sesuatu kepada jurulatih,” katanya.