Felda United semakin selesa di kedudukan teratas 100PLUS Liga Premier setelah menundukkan salah satu pencabar terdekat, Sarawak 3-2 di Stadium Bandar Tun Razak, Jengka.
Skuad bimbingan B.Sathianathan bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 2-1 menerusi dua jaringan Thiago Augusto dan hampir berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 setelah Sarawak mengikat kedudukan menerusi Bobby Gonzales.
Namun jaringan ketua pasukan, Shukor Adan pada minit ke-86 memastikan mereka melakar kemenangan yang keenam musim ini dari lapan perlawanan dan menerajui liga dengan 20 mata, tiga mata mengatasi Felcra FC.
Felcra FC pula meneruskan musim cemerlang mereka setelah melakar kemenangan keempat dengan menundukkan Johor Darul Takzim II 2-1 di Stadium Pasir Gudang sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah musim ini kepada sembilan perlawanan.
Gol jaringan David Laly pada minit ke-28 dan Leo Carioca pada minit ke-80 menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Tarchisio Pugliese manakala gol tunggal JDT II dijaringkan Hadi Fayyadh pada minit ke-55.
Sementara itu Sabah terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas setelah tewas kepada Pulau Pinang 1-2 di Stadium Negeri Batu Kawan.
Sang badak mendahului pada minit ke-21 menerusi jaringan Maxius Musa namun Pulau Pinang kendalian Zainal Abidin Hassan menterjemahkan kebangkitan pada 15 minit terakhir menerusi jaringan Sanna Nyasi (m-75) dan Seungjo Kang pada masa kecederaan.
Sabah kekal di tangga ketiga dengan 13 mata manakala Pulau Pinang melonjak ke tangga ketujuh dengan 10 mata.
Uitm FC turut terlepas peluang untuk kembali ke dalam kelompok tiga teratas apabila tewas kepada Polis Diraja Malaysia 1-3 di Stadium Uitm Shah Alam. Skuad PDRM bimbingan Zulhamizan Zakaria beroleh jaringan menerusi Sim Woon Sub, Ardzim Regzovic dan Baqiudin Samsudin manakala gol tunggal Uitm dijaringkan Lucas Ramon Pugh.
Kemenangan membolehkan PDRM melonjak ke tangga kelima dengan 11 mata manakala Uitm tergelincir ke tangga keenam, juga dengan 11 mata.
Dalam satu lagi aksi, perlawanan antara UKM FC dan MIFA berkesudahan seri 3-3. Kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dengan UKM mendahului pada minit kelima menerusi Sein Nam namun L’Imam Sydi menyamakan kedudukan pada minit ke-38.
Giliran MIFA bimbingan K.Devan mendahului tiga minit kemudian menerusi Kpah Sherman namun UKM FC mengikat kedudukan 2-2 menerusi sentuhan Kipson Atuheire pada minit akhir separuh masa pertama.
MIFA kembali mendahului menerusi M.Youwarasan pada minit ke-65 dan pada ketika mereka sudah begitu hampir meraikan kemenangan, Sein Nam menyelamatkan satu mata buat UKM FC dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN