Sabah terlepas peluang terbaik untuk merampas kedudukan pendahulu 100PLUS Liga Premier dari Felda United setelah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sarawak di Stadium Likas.
Sarawak terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-19 namun Hector Ramos menyelamatkan satu mata buat Sabah menerusi jaringan penyamaan minit ke-54.
Dengan lapan mata, Sabah melonjak semula ke tangga kedua dan masih belum tewas selepas mengharungi empat perlawanan.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Polis Diraja Malaysia mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi jaringan Shahurain Abu Samah.
Sementara itu tiga perlawanan berlangsung lebih awal pada Jumaat.
UITM FC meneruskan langkahan ‘giant killer’ mereka dengan menewaskan Terengganu FC II 3-2 di Kuala Terengganu.
Gol buat Uitm dijaringkan oleh Bakary Dao pada minit ke-16 serta Lucas Ramon Pugh pada minit ke-38 dan 81 manakala TFC II membalas menerusi dua jaringan Akani Sunday Wasiu.
Ia membantu UITM FC berada di kedudukan ketiga dengan lapan mata dan mereka juga belum tewas selepas empat perlawanan.
Marcerra Kuantan FA pula melakar kemenangan pertama musim ini dengan membelasah pendatang baru, UKM FC 4-0 di Stadium Selayang.
Andre Francisco menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima manakala Zarko Korac meledak hatrik pada minit ke-51, 75 dan 85 untuk membantu Marcerra melonjak ke tangga kelima.
Perlawanan antara Felcra FC dan MIFA di Stadium Shah Alam pula berkesudahan seri seri 1-1. MIFA mendahului pada awal separuh masa kedua menerusi Kpah Sherman namun Felcra memastikan rekod tanpa kalah mereka tidak tercalar menerusi jaringan penyamaan David Laly pada minit akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN