Prestasi cemerlang pada aksi sulung Liga Super 2023 melalui 2 jaringan dan 1 bantuan gol,tidak membuatkan Saddil Ramdani leka dengan pujian sebaliknya dia mahu lebih konsisten sepanjang musim ini bagi membantu Sabah FC meraih lebih banyak kejayaan, musim ini.

Dalam masa sama, pemain berusia 24 tahun itu tidak mahu kejayaan menewaskan PDRM FC, 4-0 hanya ditujukan kepada dirinya kerana menganggap semua pemain juga telah memberikan yang terbaik untuk Sabah.

Justeru, Saddil mengharapkan rentak sama mampu diteruskan oleh mereka apabila melayani kunjungan Kelantan United FC pada Rabu di Stadium Likas.

“Syukur kerana permulaan positif buat saya dan pasukan, tetapi ini hanya aksi pertama kerana banyak lagi perlawanan kita bakal hadapi.

“Dua jaringan yang dilakukan sudah tentu memberikan motivasi dan harap saya mampu kekal berikan yang terbaik kepada pasukan sepanjang musim.

“Sejujurnya saya gembira beraksi dengan barisan penyerang Sabah musim ini apabila adanya pemain seperti Darren Lok yang telah menambahkan kualiti pasukan.

“Bagi perlawanan seterusnya, kami tidak boleh ambil mudah cabaran lawan iaitu Kelantan United kerana semua pasukan ada kualiti tersendiri apabila berada di dalam Liga Super.

“Apa yang penting, jangan sia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan cuba meraih 3 mata pada tiap perlawanan bagi meletakkan kami dalam posisi yang selesa di liga,” katanya.

Saddil dan pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue, menjadi dua pemain yang berjaya menjaringkan dua gol pada aksi pembukaan Liga Super.

Jaringan sulung Sabah yang dilakukan Saddil pada minit ke-13 antara paling menarik apabila dia berjaya memperdayakan pertahanan PDRM sebelum melepaskan rembatan dari sudut yang sukar di sebelah kiri gawang lawan.

Selain Saddil yang turut menambah satu lagi jaringan pada minit 71, dua lagi gol Sabah disumbangkan Park Tae-su dan Stuart Wilkin.

Sementara itu, pemain antarabangsa Indonesia itu membuat pendedahan mengapa 67 menjadi pilihan nombor jersinya sejak dua musim lalu.

“Ibu saya dilahirkan pada tahun 1967 dan itu sebabnya saya mengambil nombor 67 itu sebagai nombor jersi saya di Sabah, perkara ini juga telah direstui ibu apabila saya telah memohon kebenaran daripada beliau.

“Mungkin ramai berasa hairan mengapa saya memilih nombor ini tetapi saya bangga kerana ini menunjukkan rasa hormat serta bukti, perasaan sayang kepada ibu.

“Saya harap pemilihan nombor 67 ini akan berikan tuah kepada karier saya sepanjang di Sabah terutama pada musim ini,” katanya.

- Advertisement -