Semangat penyerang Safawi Rasid kian membara untuk terus menjadi watak penting dalam misi Johor Darul Taâzim (JDT) memburu kejuaraan Piala Malaysia 2019 apabila berdepan Kedah pada final 2 November ini.
Selepas berjaya membawa pasukan ke final menerusi ledakan hatrik pada aksi separuh akhir kedua menentang Selangor semalam, pemain kebangsaan itu berjaya menjawab segala kritikan ramai pihak mengenai prestasi semasanya.
Kini Safawi mengintai peluang untuk tampil di pentas final Piala Malaysia buat kali pertama selepas tidak disenaraikan dalam skuad utama pada perlawanan akhir berdepan Kedah, dua tahun lalu yang menyaksikan JDT menang 2-0.
âImpian saya sudah pasti untuk membawa pulang trofi Piala Malaysia kerana sudah lama saya menanti saat ini untuk bantu rakan sepasukan dalam aksi final nanti.
âApatah lagi, saya belum pernah berpeluang untuk beraksi pada final terakhir kami dua tahun lalu dan tahun ini, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik kami sekali lagi.
âApa yang saya boleh katakan, berdepan lawan sama (Kedah), perlawanan final nanti akan menjadi lebih menarik dan mendebarkan dengan kehadiran ramai penyokong di stadium,â katanya.
Bercakap mengenai aksi cemerlang yang ditampilkan Safawi dalam separuh akhir kedua itu, dia puas apabila dapat menjaringkan tiga gol untuk pasukan bagi menebus kembali prestasi kurang memberangsangkan di separuh akhir pertama minggu lalu.
Namun baginya, tanpa kerja keras rakan sepasukan, tiga gol tersebut tidak akan hadir dan menganggap kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pemain yang turut menjadi tulang belakang kepada kemenangan aggregat 5-1 ke atas Selangor.
âSaya memang tidak nafikan agak penat dalam aksi separuh akhir pertama kerana baru selesai tugas bersama skuad kebangsaan.
âTetapi itu bukan masalah sebenarnya kerana sebagai pemain sudah pasti kadang-kadang ada hari yang saya akan beraksi baik, kadang-kadang ada yang tidak menjadi.
âApa-apa pun ini rezeki saya berjaya melakukan hatrik di mana yang paling penting adalah kerjasama daripada rakan sepasukan yang turut membantu dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka atas kemenangan ini,â katanya.
JDT mara ke final Piala Malaysia selepas menundukkan Selangor dengan kemenangan aggregat 5-1 di Stadium Shah Alam manakala Kedah menang dengan kelebihan gol di tempat lawan menerusi keputusan aggregat 8-8 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur.
JDT bakal bertemu Kedah buat kali kedua dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 selepas kali terakhir mereka berentap pada edisi 2017.