Biar apa orang kata mengenai masa depan dan kedudukan kewangan mereka, ia tidak sedikitpun memghalang Perlis daripada terus memancing nama-nama besar dalam arena bolasepak tempatan untuk memperkuatkan pasukan.
Skuad dengan jolokkan Singa Utara itu menjadi pasukan paling sibuk berbelanja di dalam mempersiapkan skuad untuk musim 2019, mengalahkan pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier.
Terbaru bekas penyerang sensasi kebangsaan Safee Sali diperkenalkan sebagai pemain baru pasukan itu dalam satu majlis di Bandar Baru Bangi pada Selasa, menyertai beberapa lagi nama besar arena bolasepak tempatan antaranya Badhri Radzi, Aziz Ismail, Khyril Muhaimeen Zambri, Azmi Muslim dan Azmizi Azmi.
Perlis sebelum ini dibidas oleh pelbagai pihak termasuklah Persatuan Pemain Professional Malaysia kerana ghairah berbelanja namun tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan gaji pemain yang tertunggak sejak tahun 2016.
Sementara itu, Safee yang dilabel salah seorang penyerang terbaik arena bolasepak tempatan mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuknya membuat keputusan menerima tawaran Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang sedang dalam transformasi besar-besaran bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia.
Namun penyerang yang pernah berkelana bermain di Liga Indonesia ini menjelaskan dia tertarik dengan kesungguhan ditunjukkan kepimpinan baru PFA di bawah pimpinan Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad untuk kembali melonjakkan bolasepak Perlis serta janji daripada pihak pengurusan betapa kemelut dihadapi kepimpinan terdahulu tidak berulang.
“Saya mengambil masa lama untuk memilih haluan ini, saya tahu mengenai kemelut kewangan yang dihadapi oleh pasukan ini, mereka menanggung hutang yang terlalu banyak dan dalam situasi ini sudah tentunya saya berfikir banyak kali nak terima atau tidak tawaran mereka.
“Memang saya takut pada mulanya tetapi saya berbincang dan mendengar penjelasan daripada Presiden PFA, melihat visi dan perancangan yang telah disusun malah beliau memberi jaminan bahawa pengurusan baru ini jauh berbeza dengan pengurusan lama. Ini menyebabkan saya yakin untuk bekerjasama dengan mereka dan menerima tawaran ini,” ujar Safee Sali.
Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 dengan lima gol itu turut meletakkan sasaran mahu meledak sekurang-kurangnya 10 gol bersama Perlis yang dijangka bermain dalam Liga Premier musim depan.
Sebagai rekod, Safee Sali yang akan berusia 35 tahun bulan depan turut pernah menyarung jersi Telekom Melaka, Kuala Lumpur, Sarawak, Selangor, Johor Darul Takzim dalam Liga Malaysia selain Pelita Jaya dan Arema Cronus dalam Liga Indonesia.
Musim ini dia mewakili PKNS FC dan menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan, membantu skuad kendalian Datuk K.Rajagobal menamatkan Liga Super di tempat ketiga, layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir Piala Malaysia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN