Oleh Muhammad Aiman
Pasukan kebangsaan sah akan kehilangan sentuhan kreatif ketua pasukan, Safiq Rahim bagi kedua-dua aksi play-off Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste selepas kecederaan paha yang dialaminya dijangka memerlukan lebih masa untuk pulih sepenuhnya.
Khidmat Safiq sememangnya diragui dari awal sama ada dapat digunakan atau tidak setelah tonggak Johor Darul Takzim itu tidak menyertai skuad negara ke Myanmar untuk aksi persahabatan minggu lalu bagi memberi ruang kepadanya menjalani pemulihan.Â
Pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee berkata, “Ianya lebih baik untuk Safiq berehat dan pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Kita tidak mahu percepatkan proses pemulihan dia dan kemudiannya menjadikan kecederaannya lebih teruk.”
Ketiadaan Safiq jelas satu lagi kehilangan besar buat Kim Swee setelah sebelum ini terpaksa melupakan khidmat pemain sayap lincah R.Gopinathan manakala beberapa pemain yang tidak menunjukkan prestasi baik telahpun digugurkan jurulatih itu yang hanya mengekalkan 14 pemain dari skuad terdahulu.
Ketika seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada 28 Mei lalu, Kim Swee telah memberi ruang kepada 17 pemain untuk beraksi dan mencuba beberapa gandingan baru di tengah, termasuk gandingan Baddrol Bakhtiar dan Amirulhadi Zainal.
Namun, kebimbangan paling besar jurulatih itu ketika ini lebih menjurus kepada kegagalan barisan depan menyempurnakan peluang dan menjaringkan gol, di mana dalam lima perlawanan terakhir jentera serangan diketuai penyerang veteran Amri Yahyah hanya menjaringkan satu gol.
Sekembalinya dari Myanmar tempoh hari, Kim Swee telah terbang ke Phnom Penh untuk menyaksikan perlawanan antara Timor Leste menentang Kemboja, dan di sebalik menurunkan empat pemain naturalisasi iaitu Ramon Saro, Diego Rangel, Junior Aparecido serta Paolo Riberio, Timor Leste tetap tewas 0-2.
“Kita perlu berada pada kekuatan penuh, Timor Leste bukan pasukan yang boleh kita pandang rendah. Keempat-empat pemain naturalisasi mereka cukup bagus, terutamanya Junior. Lagipun, dia cukup masak dengan bolasepak Malaysia, pernah bermain untuk Selangor dan Sarawak di sini,” jelas Kim Swee.
Malaysia akan berdepan Timor Leste dalam aksi timbal balik pada 2 dan 6 Jun dengan kedua-dua aksi akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Untuk rekod, dua pertemuan terakhir menentang Timor Leste berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 di Bukit Jalil, dan Malaysia menang 1-0 di Dilli – kedua-duanya dalam aksi peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.Â