Oleh Muhammad Aiman
Jurulatih TNB Thunderbolts, Nor Saiful Zaini tetap positif dengan pasukannya yang disifatkan meraih pengalaman berharga di sebalik kekalahan 1-6 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam aksi Liga Premier TNB MHL 2017 sebentar tadi.
Saiful menyifatkan saingan TNB MHL adalah platform buat skuad mudanya yang rata-rata dibarisi pemain berusia 16-17 tahun ini untuk mendapatkan pendedahan berguna.
“Kita dalam proses pembelajaran kerana mereka berhadapan dengan pemain berpengalaman seperti pemain kebangsaan dan juga pemain import dalam saingan ini.
“Mereka (pemain Thunderbolts) kosong dan tidak ada pengalaman. Jadi kita pastinya berharap pengalaman yang diraih mereka dari satu perlawanan ke satu perlawanan itulah paling penting dan menjadi keutamaan bagi mereka kerana mereka adalah pasukan projek 2020,” ujar Saiful selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu, KLHC memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Meor Muhammad Azuan pada minit ke-14.
Hanya seminit selepas itu, Muhammad Azri Hassan melebarkan pendahuluan buat KLHC dengan menyumbat masuk gol kedua juga menerusi gol padang sebelum Rashid Baharom menjadikan kedudukan3-0 – juga menerusi gol padang – pada minit ke-28.
KLHC terus garang dengan menambah jaringan keempat pada separuh masa kedua menerusi Dedy Aryadi pada minit ke-39 dan pada minit ke-52, giliran Ahmad Kazamirul pula menyudahkan pukulan sudut penalti untuk gol kelima pasukan KLHC.
TNB Thunderbolts bagaimanapun memperoleh gol sagu hati melalui Akhimullah Anuar yang menolak masuk kencang gol padang pada minit ke-60.
Syamim Yusof melengkapkan kemenangan besar 6-1 KLHC pada minit-minit terakhir perlawanan melalui satu lagi jaringan padang.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung terdahulu di venue sama, UniKL mengatasi TNB 1-0 hasil gol padang Faridzul Afiq pada minit ke-49. Kemenangan itu merupakan yang kedua buat pasukan itu sekaligus melonjakkan mereka kekedudukan teratas liga.
Bagi jurulatih UniKL Arul Selvaraj, dia berpuashati dengan persembahan anak buahnya tetapi berpendapat pasukannya mungkin boleh mencatat kemenangan lebih besar jika tidak ketangkasan penjaga gol S. Kumar di pintu gol TNB.
“Kemenangan ini adalah begitu bermakna namun saya agak kecewa kerana kita gagal menyudahkan banyak peluang yang terhidang terutama pada separuh masa pertama dan penghujung babak permainan.
“Dari segi permainan, saya amat gembira dengan pemain kerana mereka memberikan komitmen yang tinggi dan persefahaman di bahagian serangan juga semakin meningkat,” ujarnya selepas perlawanan.
Dua lagi perlawanan berkesudahan THT berkenduri gol menumpaskan UITM 9-0 dan  Maybank pula mengatasi SSTMI dengan keputusan 4-0.