Oleh Muhammad Aiman
Jurulatih pasukan hoki B-16 kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap prestasi longlai penjaga gol, Hamiz Ahir yang menjadi punca utama kekalahan 1-6 kepada pasukan B-16 Jerman pada aksi Piala Whitsun di Mannheim.
Nor Saiful Zaini menyalahkan penjaga gol kurang berpengalaman dari Sekolah Sukan Temerloh itu yang kelihatan cukup gugup dan melepaskan gol-gol mudah yang membawa kepada kekalahan besar itu.
“Kami dikecewakan oleh penyudah tumpul dan melepaskan gol-gol yang mudah. Kami sememangnya tahu akan kelemahan di posisi penjaga gol dan ini adalah sesuatu yang perlu kami ambil maklum agar perubahan dapat segera dibuat pada sistem permainan.
“Kami bermain permainan terbuka dan saya tidak terkejut untuk tewas besar kerana ia sepenuhnya silap kami yang tidak dapat menjaringkan gol dan bertahan dengan baik.”
“Kedua-dua bahagian ini perlu penambahbaikkan, dan saya mahu lihat peningkatan serta aksi yang lebih baik pada aksi menentang Belanda nanti,” ujar Nor Saiful.
Sebelum ini, jurulatih penjaga gol M.Nadarajan yang mengendalikan sesi latihan selama empat hari untuk Hamiz dan juga penjaga gol Sekolah Sukan Bukan Jalil, Helmi Fazli ada menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya penguasaan terhadap teknik asas dua penjaga gol itu.
Pada perlawanan menentang Jerman, Malaysia mencipta 14 peluang untuk menjaringkan gol namun hanya menemui gawang menerusi Zafri Afiq pada minit ke-58 tatkala Jerman yang mempunyai 16 percubaan meledak enam gol menerusi Masi Pandt (m-9), Marinus Mack (m-11, 51), Christopher Kutter (m-64) dan Hannes Muller (m-68, 70).
Justeru, Nor Saiful Zaini yang merupakan bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan berkata keputusan perlawanan itu tidak melambangkan ukuran kekuatan sebenar pasukannya yang pada hakikatnya telah mendominasi perlawanan.
“Untuk satu tempoh masa lama, kami bermain lebih bagus dari mereka cuma kami tidak dapat sempurnakan peluang. Ianya satu proses pembelajaran yang cukup panjang, dan kekalahan ini hanya akan memberikan mereka indikasi bahawa jalan menuju ke pentas kejayaan di peringkat antarabangsa hanya akan menjelma menerusi kerja keras dan kemahuan untuk memperbaiki kelemahan.
“Sebab itulah saya turunkan penjaga gol yang sama sepanjang perlawanan supaya Hamiz boleh mendapat pendedahahan dan belajar dari kekalahan ini,” jelas Nor Saiful Zaini.