Johor Darul Takzim sudah mengesahkan kejuaraan. Kini tumpuan terarah kepada persaingan menduduki kelompok tiga teratas dan serta perjuangan di zon penyingkiran yang nampak semakin menarik.
Juara Piala FA Pahang gagal memanfaatkan kekalahan dialami Perak dan terlepas peluang untuk mengambil alih tempat kedua apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang PKNP FC di Stadium Darulmakmur pada Rabu.
Perak tewas kepada JDT pada Selasa dan membuka ruang kepada pencabar mereka untuk mendekatkan jurang mata. Terengganu berjaya melakukannya dengan menewaskan Kuala Lumpur manakala Kedah berputih mata setelah kecundang kepada Melaka.
Pahang berpotensi untuk memintas menerusi beza jaringan seandainya menang namun sekadar mampu mengutip satu mata. Ini menyaksikan skuad Dollah Salleh itu kekal menghuni tangga keempat dengan 29 mata, satu mata di belakang Kedah dan Terengganu , dua mata di belakang Perak.
Satu mata buat PKNP pula menyaksikan mereka belum lagi mampu untuk ‘lari’ jauh dari zon penyingkiran. Mereka mengumpul 19 mata, lima mata di zon selamat mengatasi Kelantan yang memastikan misi ‘survival’ mereka masih bernyala setelah menewaskan finalis Piala FA, Selangor 2-1 di Kota Bharu menerusi jaringan dua pemain baru pasukan kebangsaan Shafiq Shaharudin dan Danial Ashraff Abdullah.
Kelantan melonjak ke tangga kesebelas dengan 14 mata, menolak Negeri Sembilan ke tangga tercorot setelah pasukan bimbingan Mario Lemos itu kecundang 3-5 kepada PKNS FC di Stadium Shah Alam.
Gol buat PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal dijaringkan oleh Faris Ramli, Safee Sali, Bruno Matos, Romel Morales dan Khyril Muhaimeen manakala Jang membalas menerusi Khairul Anwar, Flavio Beck Junior dan Angel Guirado.
Peluang untuk Kelantan dan Negeri Sembilan untuk kekal dalam Liga Super tetap dilihat tepis kerana mereka perlu untuk memenangi kesemua empat perlawanan yang berbaki. – OLEH MUHMMAD AIMAN