Kemuncak saingan Piala 100PLUS Menteri Pendidikan Bawah 14 tahun dan Piala Remaja KPM – FAM Bawah 17 Tahun bakal diketahui minggu ini selepas dua pasukan masing masing mengisi slot final bagi kedua dua kategori.

SMK Bukit indah dari Johor paling awal mengesahkan slot ke final selepas menang 3-1 menerusi aggregat ke atas SMK Za’ba dari Negri Sembilan bagi kategori bawah 14 tahun.

Kemenangan selesa 3-0 di separuh akhir pertama di laman sendiri ternyata memberi kelebihan buat SMK Bukit Indah ketika bertandang ke tempat lawan bagi aksi separuh akhir kedua.

SMK Bukit Indah bagaimanapun tewas 0-1 di Kuala Pilah hasil jaringan Muhd Hafidzuddin Murad di minit 44, namun pulang ceria selepas sah mara ke final.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini. Kami menang 3-0 di Johor dan apa yang penting untuk kami adalah mara ke final. Negeri Sembilan adalah pasukan yang hebat dan mereka memberikan perlawanan dan tentangan yang sengit,” kata jurulatih SMK Bukit Indah,  Javier Jorda Ridera. 

Menanti SMK Bukit indah dipentas final, SSMP Bawah 13 dari Gambang yang mengatasi wakil Kelantan, SMK Putera berdasarkan peraturan jaringan ditempat lawan selepas kedua dua pasukan terikat 3 sama menerusi aggregat.

 

 

Jaringan penyamaan Mohd Akid Mohd Zamri di minit ke 14 menutup impian SMK Putera untuk ke final yang terlebih dahulu di depan di minit 10 menerusi gol Mohd Alif Haikal Azmi sekaligus kedua dua pasukan terikat satu sama pada separuh akhir kedua.

Sementara itu, aksi final bawah 17 bakal berlangsung diantara SMK Za’ba dan SMK Presint 14 (1).

SMK Za’ba ternyata menepati ramalan untuk mara ke final susulan kemenangan bergaya6-3 menerusi aggregat.

Perlawanan separuh akhir kedua dilaman sendiri nyata dimanfaatkan SMK Za’ba yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk melakar kemenangan 2-1.

Muhd Ikfan Mohd Rozi membuka tirai gol untuk pelawat di babak pertama melalui sepakan penalti, namun tuan rumah bangkit dengan dua gol dalam tempoh 11 minit hasil jaringan Tengku Mohd Norzaiful Tengku Zaizurin (min 67) sebelum Hafiz Ikhwan Hazley memastikan kemenangan untuk SMK Za’ba.

Lawan SMK Za’ba di pentas final SMK Presnit 14 (1) yang melengkapkan kuota dengan kemenangan 5-2 menerusi aggregat ke atas SSMP B15 dari Gambang.

Separuh akhir kedua menyaksikan SMK Presint 14 (1) membenam cabaran SSMP B15 3-1 di Gambang hasil jaringan Mohd Haizal Jinie Adam (min 16), Muhd Norazwan Amir (min 31) dan Mohd Syahir Abd Rahman (min 41).

Manakala gol tunggal SSMP B15 dijaringkan Muhd Syukur Fariz Januri. 

Perlawanan final bagi bawah 17 tahun berlangsung pada Jumaat manakala kategori bawah 14 tahun dijadual berlangsung pada Sabtu.

Kesemua perlawanan diadakan di Gambang.

- Advertisement -